Kerana buang sampah merata-rata, pemilik kedai tomyam didenda RM10 ribu

Kerana buang sampah merata-rata, pemilik kedai tomyam didenda RM10 ribu

Seorang pemilik kedai tomyam didenda RM10,000 selepas mengaku bersalah membuang sisa pepejal komersial berhampiran premisnya di Jalan Pintasan Kuantan-Pelabuhan, Pahang, Julai tahun lalu.

Pengurus kedai, Mohd Zuhairi Razali membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Mahkamah Sesyen Kuantan, Mohd Kafli Che Ali, hari ini, lapor FMT.

Berdasarkan kertas pertuduhan, pemilik restoran itu melalui pekerjanya didakwa melakukan kesalahan terbabit pada 12.40 pagi 21 Julai 2020.

Dia didakwa mengikut Seksyen 71(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 71(8) akta sama.

Dia boleh didenda minimum RM10,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh kemudiannya membayar denda itu.

Pendakwaan dilakukan pegawai pendakwa Perbadanan Sisa Pepejal dan Kebersihan Awam (SWCorp), Muhamad Fadhli Syam Ramli, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.