Kerana isteri dipaksa bekerja cuti umum, suami nekad bakar pejabat!

Kerana isteri dipaksa bekerja cuti umum, suami nekad bakar pejabat!

Seorang lelaki di Indonesia nekad membakar pejabat isterinya gara-gara terlalu berang dengan wanita berkenaan yang mendakwa perlu bekerja semasa cuti umum.

Lelaki berkenaan difahamkan membakar pejabat Badan Perancang Kemajuan Wilayah (Bappeda) di Riau, Jalan Gajah Muda, Pekanbaru, pada 1 Februari lalu di saat seluruh negara itu sedang menyambut Tahun Baru Imlek (Tahun Baru Cina), lapor Tribunnews.

Datang pejabat isteri tiada

Menurut Ketua Polis Pekanbaru Kombes Pol Pria Budi, lelaki ini pada mulanya datang ke pejabat berkenaan untuk mencari isterinya yang menurutnya sedang bekerja di sana.

Namun sebaik tiba di sana, dia gagal menemui isterinya walhal wanita berkenaan sebelum itu memaklumkan dia perlu masuk ke pejabat untuk bekerja.

“Daripada keterangan suspek, isterinya mengakui bahawa dia hendak ke pejabat, ternyata ketika dia datang untuk memeriksa keberadaan isterinya, wanita itu tiada di situ,” kata Pria Budi yang memaklumkan akan menjalankan siasatan lanjut terhadap isu berkenaan.

Turut ancam pengawal keselamatan

Tambah pegawai polis itu lagi, suspek bukan setakat membakar pejabat tersebut malahan turut mengancam pengawal keselamatan yang cuba menghalangnya untuk menyerbu masuk ke pejabat.

Dia yang turut membawa senjata berupa kayu dan 10 liter cecair bahan mudah bakar kemudian terus membakar sofa di tingkat dua hingga menyebabkan api menjadi marak hingga ke tingkat tiga.

“Selain membakar sofa di tingkat dua bangunan itu, suspek turut memecahkan pintu kaca bangunan tersebut,” kata Pol Kombes Pol Pria Budi.

Dipercayai curiga dengan alasan si isteri

Menerusi laporan CNN, suspek yang melarikan diri kemudian berjaya ditahan oleh pihak berkuasa 30 minit selepas kejadian berlaku.

Siasatan awal pihak berkuasa mendapati suspek dipercayai curiga dengan alasan yang digunakannya isterinya memandangkan ia adalah cuti umum.

“Tidak tahulah apa masalahnya, namun dijangkakan kerana cemburu. Yang pasti kehadirannya ke sana membawa senjata. Ada juga bahan bakar 10 liter yang turut dibawa bersama,” kata Pria Budi lagi.