Kes Covid19 di Indonesia turun 96 peratus, kenapa Malaysia masih gagal?

Kes Covid19 di Indonesia turun 96 peratus, kenapa Malaysia masih gagal?

BAGAIMANA Indonesia boleh mengurangkan kes harian baharu Covid-19 mereka sehingga lebih 96 peratus dalam masa dua bulan.

Perkara itu dibangkitkan veteran DAP, Lim Kit Siang susulan kes Covid-19 di negara jiran itu menurun dari 56,757 pada 15 Julai kepada 1,932 kes semalam, namun Malaysia tidak berjaya melakukan perkara sama.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Iskandar Puteri terbabit berkata ia antara satu daripada banyak persoalan yang perlu dijawab Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

“Pada 15 Julai, kes Covid-19 di Malaysia adalah 13,215. Sepanjang dua bulan lalu, daripada mengurangkan jumlah kes harian lebih 96 peratus seperti Indonesia — bermakna Malaysia kembali mencatatkan kes dalam lingkungan julat tiga angka dengan 528 kes baharu.

“Sebaliknya, kes harian baharu Covid-19 di negara ini tidak pernah turun ke bawah paras 14,000 kes.

“Semalam, kes di Malaysia adalah 14,345, jumlah terendah direkodkan sejak 26 Julai (14,516 kes). Kita mencatatkan 13,215 kes jangkitan baharu pada 15 Julai sedangkan Indonesia telah mengurangkan kes harian baharu Covid-19 mereka lebih 96 peratus,” katanya hari ini, lapor Malaysiapost.

Kit Siang berkata, Khairy tidak seharusnya mengelak untuk menjawab persoalan-persoalan itu, kerana ia akan menghantui beliau untuk tempoh beberapa minggu akan datang.

“Bilakah kes harian 19 di Malaysia akan turun ke bawah paras 10,000 kes; turun ke bawah paras 1,000 kes dan Malaysia kembali mencatatkan jumlah kes tiga angka; bilakah Malaysia akan kembali mencatatkan jumlah kes dua angka?

“Sudahkan Khairy menjawab ketiga-tiga persoalan ini?,” katanya lagi.