Kes pembunuhan Adib ditutup, menteri kata tidak jumpa pembunuh

Kes pembunuhan Adib ditutup, menteri kata tidak jumpa pembunuh

Kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim ditutup sementara dan akan dibuka semula jika terdapat bukti baharu.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, kerajaan kini akan memberi fokus terhadap keperluan keluarga Allahyarham Muhammad Adib.

“Itu yang saya difahamkan tetapi mungkin mereka (pihak berkenaan) belum mengumumkan (kes berkenaan ditutup) dan melihat bagaimana kita dapat membantu keluarga Adib,” katanya ketika ditemui media pada Program Jelajah Ampang Prihatin di Kuala Ampang di sini pada Sabtu.

Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang ialah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan ketika kes berkenaan berlaku dan sentiasa mengambil berat mengenai kes terbabit.

Menurut beliau, kes akan dibuka semula sekiranya ada keterangan, maklumat dan bukti yang boleh digunakan.

“Kita akan terus mencari siapa yang telah menyebabkan kematian Adib,” katanya, lapor Sinar Harian.

Muhammad Adib meninggal dunia pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara (IJN), sebulan selepas mengalami kecederaan ketika berada di lokasi kejadian susulan rusuhan di luar Kuil Seafield Sri Maha Mariamman, di Subang Jaya pada 27 November 2018.