Kesian wanita ini bersanding seorang diri selepas teman lelakinya mungkir janji

Kesian wanita ini bersanding seorang diri selepas teman lelakinya mungkir janji

SEORANG bakal pengantin perempuan yang ditinggalkan berikrar tidak akan memulihkan hubungan dengan pengantin lelakinya yang melarikan diri pada hari perkahwinan mereka.

Pengantin lelaki itu dikatakan seorang askar yang bekerja di Selatan Thailand dan wanita itu telah menuntut sejumlah 270,000 baht (RM34,338.47) sebagai pampasan daripadanya.

Mangsa, seorang pekerja kilang, Namthip, 40, dan Sarjan Mejar Ek Suwannahong telah mengenali antara satu sama lain melalui platform dalam talian pada Disember tahun lepas.

Apabila hubungan mereka semakin akrab, lelaki itu meminta wanita tersebut untuk berkahwin dengannya. Mereka merancang melangsungkan perkahwinan di rumah sebelah perempuan di daerah Kabin Buri pada 1 Mei.

Keluarga Namthip telah meminta mas kahwin sebanyak 200,000 baht (RM25,435.91) dan kepingan emas bernilai kira-kira 93,000 baht (RM11,827.70).

Sebelum majlis perkahwinan, bakal pengantin lelaki memberitahu Namthip bahawa dia dan ibunya akan tinggal di sebuah resort berhampiran rumahnya.

Dia memberi wang sejumlah 20,000 baht (RM2,543.59) untuk perbelanjaan dan persiapan perarakan khan mak atau upacara tradisi Thai di mana pengantin lelaki secara rasmi membawa dulang hadiah pertunangan kepada keluarga pengantin perempuan, pada pagi 1 Mei.

Apabila hari perkahwinan, lelaki itu gagal menghadirkan diri, membuatkan bakal pengantin perempuan, saudara mara dan tetamu terkejut.

Lebih daripada 50 meja makan telah diatur untuk majlis berkenaan.

4298638

Semasa sesi temu bual dengan Bangkok Post, Namthip, yang kelihatan sedih, berkata, Ek Suwannahong telah cuba menghubunginya pada hari Khamis, tetapi dia telah menolak 11 panggilan telefon kerana mengalami tekanan.

Seorang ahli politik tempatan telah melawatnya dan memberitahu bahawa lelaki itu akan datang menemuinya di balai polis Na Di pada 11 Mei untuk menyelesaikan masalah itu.

Namun katanya, dia tidak akan berdamai dan mahu bekas teman lelakinya membayar perbelanjaan perkahwinan.

Apabila ditanya mengenai Ek Suwannahong, wanita itu berkata, dia dimaklumkan bahawa lelaki itu adalah seorang tentera berpangkat sarjan mejar yang bekerja di pedalaman Selatan Thailand. Bagaimanapun, dia tidak pernah melihatnya dalam pakaian seragam sejak mereka mengenali antara satu sama lain.

Ketua balai polis Na Di, Somparn Suksamran berkata, Namthip telah memfailkan laporan polis.

Dia telah menuntut pampasan sebanyak 271,079 baht (RM34,475.70) daripada Ek Suwannahong kerana tidak menghadiri majlis perkahwinan seperti yang dijanjikan.

Bagaimanapun, tiada kesalahan jenayah dilakukan dalam kes terbabit. Bagi saman sivil, kata Somparn, kedua-dua pihak boleh berbincang dan memperbetulkan perselisihan faham antara mereka jika mahu meneruskan percintaan.