Ketika Anwar angkat sumpah, Muhyiddin buat sidang media tak puas hati

Ketika Anwar angkat sumpah, Muhyiddin buat sidang media tak puas hati

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin mencabar Anwar Ibrahim mengemukakan jumlah sokongan dimiliki bagi mengabsahkan jumlah yang diperoleh bagi memegang jawatan perdana menteri, lapor Malaysiakini.

Muhyiddin berkata, beliau yakin telah mendapat majoriti mencukupi untuk menjadi perdana menteri dengan mendapat sokongan 115 ahli parlimen.

“Pada jam 10.30 pagi 22 Nov 2022, setiausaha agung PN menghantar satu lagi surat akuan ahli Dewan Rakyat yang memberi kepercayaan kepada saya untuk dilantik sebagai perdana menteri menjadikan jumlah ahli parlimen yang menyokong saya adalah seramai 115.

“Iaitu melebihi majoriti mudah 112 orang untuk membolehkan saya dilantik sebagai perdana menteri.

“Hari ini, Istana Negara telah mengeluarkan kenyataan bahawa Anwar yang dikatakan mempunyai sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat akan dilantik sebagai perdana menteri.

“Demi keyakinan rakyat akan keabsahsan Anwar sebagai perdana menteri, adalah sewajarnya beliau membuktikan bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat,” katanya dalam sidang media petang ini.