Ketua Menteri Melaka akur jika ADUN PN sertai kerajaan

Ketua Menteri Melaka akur jika ADUN PN sertai kerajaan

 

KETUA Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali dilaporkan sedia menuruti arahan pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) sekiranya wujud keperluan untuk melibatkan dua wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) di dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka.

Bagaimanapun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu itu berkata beliau perlu membincangkan perkara itu terlebih dahulu dengan kepimpinan parti sebelum membuat sebarang keputusan.

“Itu saya kena mesyuarat terlebih dahulu, dan saya juga mesti berbincang dengan pihak pimpinan pucuk parti

“Sebab kita kali ini kita bertanding secara solo, bukan dalam PN.

“Kalau keputusan yang dibuat pucuk pimpinan, saya akan akur,” katanya memetik MalaysiaGazzete.

Sulaiman yang memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dipilih sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13 memulakan tugasnya di Bangunan Seri Negeri (SUK), kira-kira jam 8.35 pagi, hari ini.

Beliau, 55, tiba di Bangunan Seri Negeri dengan berpakaian sut biru gelap disambut Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Kamel Mohamad serta kakitangan Pejabat Ketua Menteri.

Turut mengiringi beliau, Pegawai Kewangan Negeri Melaka, Datuk Zaidi Johari dan Mufti Melaka, Datuk Wira Abd Halim Tawil.

Pada PRN Melaka, Sulaiman berjaya mempertahankan kerusi N04 Lendu selepas memperolehi 4,486 undi dengan majoriti 3,104 undi dalam pertandingan tiga penjuru, Sabtu lalu.

Sulaiman menewaskan dua pencabarnya, iaitu calon PN, Mejar Abdullah Mahadi dengan 1,382 undi dan calon Pakatan Harapan (PH) Asri Ibrahim dengan 1,155 undi.