Khaled kata Umno gagal kuasai kerajaan: Ismail Sabri khianat parti?

Khaled kata Umno gagal kuasai kerajaan: Ismail Sabri khianat parti?

UMNO berada dalam kedudukan yang tidak pernah berlaku sebelum ini apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakon adalah dari parti itu, namun tidak menguasai kerajaan.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata apabila wujud desakan untuk Perdana Menteri melakukan rombakan Kabinet, beliau sangat bersimpati dengan kedudukan Ismail Sabri.

“Siapa lagi yang beliau boleh lantik menggantikan ahli Jemaah Menterinya yang gagal. Beliau bukan mempunyai banyak pilihan pun dari Ahli Parlimen yang sedia ada.

“Umum pun tahu, beliau mewarisi Jemaah Menteri dari Kerajaan PN yang tumbang itu. Hampir semua penyumbang Kerajaan PN yang gagal itu terus berada dalam Kerajaan Ismail Sabri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, keadaan itu sekali gus menyebabkan rombakan Kabinet sukar dilakukan kerana sekiranya tersilap perhitungan, mereka akan menarik sokongan terhadap Perdana Menteri.

“Menyalahkan Perdana Menteri kerana kelemahan ketara Kerajaan sekarang amatlah senang.

“Tetapi jika kita berada dalam kedudukan beliau, mungkin kita juga akan sukar melakukan apa yang sepatutnya dilakukan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, beliau percaya Perdana Menteri sedar dan mengerti bahawa keyakinan rakyat terhadap kerajaannya semakin menurun drastik.

Beliau berkata, namun kedudukan beliau yang sangat bergantung kepada parti-parti kecil dalam kerajaan sekarang sangat menyukarkan beliau.

“Yang terpukul ialah Umno. Kerana setiap kelemahan Kerajaan, Umno yang akan menerima bukan sekadar tempias, tetapi ‘the hurricane of people’s anger’.

“Namun Umno juga tidak boleh membiarkan Perdana Menteri keseorangan. Beliau adalah wakil Umno dan beliau sepatutnya menjadi suara Umno.

“Kalau beliau gagal, Umno yang dituduh gagal. PM pasti mengerti ini. Jadi Umno tidak boleh membiarkan perkara ini terusan begini.

“Kerana kita tidak mahu kebencian rakyat terhadap PH dan PN sebelum ini, menjatuhkan lagi kerajaan Keluarga Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, Umno sedang bekerja keras untuk mencari strategi keluar dari kemelut ini.

“Tetapi buat masa sekarang, dilemma Umno ini akan berterusan,” katanya.