Kisah 5 binaan bersejarah di Malaysia yang ramai tidak tahu

Kisah 5 binaan bersejarah di Malaysia yang ramai tidak tahu

 

Ayuh bersama kami mengimbau semula kenangan sempena sambutan Hari Malaysia ini. Ketahui pelbagai fakta menarik dan visual hitam putih yang jarang dilihat mengenai lima binaan bersejarah yang terdapat di Malaysia. Kesemua binaan ini dikenali seantero dunia, malah, keunikannya juga turut menjadi ikonik dan menggambarkan identiti Malaysia.

Bangunan, struktur dan seni bina sesebuah negara memainkan peranan besar dalam menggambarkan sejarah dan identiti budayanya. Cuba fikirkan beberapa bandaraya ikonik di serata dunia seperti Bandaraya New York, London dan Sydney. Kesemuanya dipandang tinggi kerana mempunyai identiti dan keistimewaan yang tersendiri. Identiti ini terbentuk daripada kekayaan budaya masing-masing. Tambahan pula bangunan dan struktur yang merupakan mercu tanda kerap kali menjadi latar belakang peristiwa bersejarah yang penting atau mempunyai fungsi khusus untuk rakyat jelata.

Begitu juga bagi Malaysia. Sempena sambutan Hari Malaysia ini, dan dengan semangat Malaysia Baharu, kami merasakan wajar untuk mengingatkan kembali warisan kita dengan melihat semula lima binaan paling bermakna yang berperanan membentuk identiti budaya Malaysia semenjak Malaya mencapai kemerdekaan.

Kami telah mendapatkan bantuan sejarawan seni bina, Dr. Lai Chee Kien, dan arkitek, Ang Chee Cheong, yang merupakan pengarang bersama The Merdeka Interviews, sebuah buku 688 mukasurat yang memberi penghormatan kepada beberapa struktur ikonik Malaysia. Dokumentasi tebal mengenai kisah dan fakta sejarah ini merupakan hasil kajian dan 17 temu bual dengan arkitek, jurutera dan penggiat seni terkemuka yang bekerja di Tanah Melayu ssekitar pertengahan 1950-an – pertengahan 1960-an.

Ayuh kita mulakan!

#1 Bangunan Parlimen

Bangunan Parlimen telah dibuka dengan rasminya pada bulan November 1963. Ia direkabentuk oleh Ivor Shipley, seorang arkitek British yang pada masa itu berkhidmat dengan Jabatan Kerja Raya (JKR). Beliau menghabiskan enam bulan pertamanya di Malaysia menguruskan penyelenggaraan bangunan sedia ada, satu pengalaman yang mengajarnya perkara-perkara penting dalam merekabentuk bangunan yang sesuai dengan iklim kita. Bangunan ini dibina di atas tapak yang sebelumnya dikenali sebagai West Folly Hill.

Reka bentuk dalaman yang asal mengandungi laman yang terbuka dan berkonsepkan landskap dengan aliran air yang bertindak sebagai sistem penyejuk semulajadi bangunan ini. Namun ciri-ciri ini telah dibuang sedikit demi sedikit.

Fakta Menarik: Sehingga ke hari ini, lukisan Bangunan Parlimen digunakan pada logo Jabatan Kerja Raya. Penggunaan sebuah bangunan pada logo sebuah institusi kerajaan utama merupakan sesuatu yang jarang ditemui.

Bangunan dan struktur dalamannya telah melalui banyak kerja pembersihan yang sedkit sebanyak telah mencacatkan reka bentuk asal Shipley. Walau bagaimanapun, pengekalan tangga terazo dan kayu yang asal masih terdapat sehingga ke hari ini. Ini menunjukkan ketinggian tahap penelitian semasa pembinaan dijalankan walaupun sudah mencapai usia 55 tahun. Bukan itu sahaja, pembinaan asal kebanyakannya menggunakan bahan pembinaan dan pekerja tempatan. Ini merupakan sesuatu yang luar biasa jika diambil kira kekangan sumber pada masa itu.

TAHUKAH ANDA?
Satu lukisan mural oleh artis yang disanjung tinggi, mendiang Datuk Chuah Thean Teng, pernah dirancang untuk Bangunan Parlimen. Ia dirancang untuk diletakkan di belakang dinding di belakang podium ucapan berukuran 60 kaki x 80 kaki. Mural tersebut menggambarkan rakyat Malaysia pada masa itu dengan sejumlah 52 etnik berbeza yang terdiri daripada kaum-kaum utama, orang asli, komuniti Siam dan banyak lagi. Malangnya ia tidak dapat dilaksanakan.

#2 Masjid Negara

Masjid Negara mula dibina pada tahun 1963 dan dibuka kepada umum pada tahun 1965. Masjid tersebut direkabentuk oleh sepasukan tiga pegawai JKR terdiri daripada arkitek warga Scotland, Howard Ashley dan dua rakyat Malaysia, Hisham Albakri dan Baharuddin Kassim. Ia dibina di atas tapak sebuah gereja, Venning Road Brethren Gospel Hall, yang diuntukkan oleh kerajaan Malaysia.

Fakta Menarik: Pembinaan masjid ini sebahagiannya dibiayai menerusi kutipan sumbangan rakyat Malaysia. Malaysia Boleh!

Rekaan bumbung masjid ini dikira agak progresif dan menimbulkan kontroversi pada masa itu. Ia tidak menggunakan reka bentuk kubah seperti mana masjid biasa, sebaliknya mengambil reka bentuk struktur plat berlipat 16. Pasukan perekabentuk menjelaskan, memandangkan kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama Islam, bumbung tersebut berfungsi sebagai simbol payung yang memberikan perlindungan. Daripada sudut praktikal pula, reka bentuk ini dikatakan menawarkan akustik yang lebih baik.

Pihak-pihak yang terlibat bercanggah pendapat mengenai lokasi paling sesuai untuk masjid ini. Arkitek JKR dan Perancang Bandar PBB, Vlado Antolic, mencadangkan satu lokasi berhampiran Bangunan Parlimen tetapi Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman mahukan lokasi sedia ada yang hampir dengan stesen keretapi. Beliau mahu masjid ini boleh menjadi tempat persinggahan bagi para musafir.

TAHUKAH ANDA?
Terdapat 48 tiang tinggi yang sebelum ini adalah binaan sebuah kolam. Menurut, arkitek Dato (Dr.) Baharuddin Abu Kassim, ia melambangkan binaan ‘pokok kelapa’ yang dianggap sebagai kenang-kenangan zaman kanak-kanak beliau ketika di Klang.

#3 Lapangan Terbang Subang

Sebelum adanya KLIA, semua penerbangan antarabangsa melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Subang yang dibuka kepada umum pada tahun 1965. Kini sebuah hab untuk syarikat penerbangan seperti Firefly dan Malindo Air di bawah Subang Skytracks, Lapangan Terbang Subang pernah muncul antara lapangan terbang tercanggih di rantau ini dengan landasan terpanjang di Asia Tenggara ketika pembukaannya.

Gambar hitam putih di atas menunjukkan struktur asal Terminal 1 Lapangan Terbang Subang yang tidak lagi beroperasi. Kesemua operasi komersil telah dipindahkan ke Subang Skypark, nama baru bagi Terminal 3 yang diberi pada penghujung 2000-an.

Lapangan terbang yang pernah diberi nama Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah pada 1996 ini juga merupakan projek awam pertama yang diberikan kepada firma arkitek swasta, Booty Edwards & Partners.

TAHUKAH ANDA?
Reka bentuk ruang legar dengan deretan tiang yang terdapat di lapangan terbang berkenaan dianggap sebagai rekaan yang menjangkaui mana-mana rekaan pada ketika itu. Ia kemudian direplikakan dan kini anda boleh melihat rekaan sama di KLIA dan Lapangan Terbang Stansted,London.

#4 Tugu Negara

Tugu Negara didirikan bagi memperingati wira negara yang telah terkorban dan diisytiharkan sebagai sebuah taman peringatan khusus untuk 11,000 jiwa yang terkorban semasa 12 tahun Darurat Tanah Melayu. Monumen tugu ini merupakan hasil kerja pengarca warga Amerika kelahiran Austria, Felix de Weldon. Beliau juga menghasilkan Memorial Perang Marine Corps yang merupakan sumber inspirasi bagi Tugu Negara. Pasukan pembina diberi tugas pada tahun 1963 dan mula dipamerkan pada tahun 1966.

Fakta Menarik: Idea asal Tugu Negara adalah sebuah arca bukan berbentuk figuratif. Idea ini diubah apabila Tunku Abdul Rahman melawat Memorial Perang Marine Corps di Washington pada tahun 1960 dan terharu melihat kehebatannya.

#5 Stadium Merdeka & Stadium Negara

Kedua-dua stadium ini dibina untuk memperingati Kemerdekaan Tanah Melayu. Stadium Merdeka dibuka pada tahun 1957, sebulan sebelum upacara bersejarah Merdeka yang menyaksikan peralihan kuasa di Tanah Melayu daripada Empayar British kepada kerajaan Tanah Melayu yang baru dibentuk.

Kedua-dua stadium ini direka oleh Tan Sri Dato’ Stanley Jewkes, seorang arkitek warga Amerika yang pada masa itu Pengarah JKR yang juga merupakan sahabat karib Tunku Abdul Rahman. Berdasarkan kepercayaan bahawa sukan mampu menjadi agen yang baik untuk penyatuan rakyat, Tunku memberi penekanan yang lebih kepada projek ini.

Fakta Menarik: Kerana kesibukan bekerja sebagai Pengarah JKR, Jewkes merekabentuk kedua-dua stadium ini selepas waktu bekerja dan pada hujung minggu di dapur di rumahnya.

Dengan peruntukan yang sedikit, Jewkes memperkenalkan inovasi dalam reka bentuknya untuk memastikan projek terus berjalan. Satu contoh inovasi ini adalah pembinaan menara lampu sorot untuk Stadium Merdeka yang dibuat daripada paip penyaliran konkrit prapasang besar yang diikat.

Begitu juga untuk Stadium Negara, bagi memenuhi keperluan kos dan teknikal, rekaan bumbung disalut kertas mampat dan helaian resin supaya menjadi lebih ringan. Ini adalah alternatif yang diambil memandangkan kos aluminium dan keluli yang agak tinggi ketika zaman selepas perang.

Fakta Menarik: Lebihan tanah yang dikorek untuk membentuk lengkok stadium yang telah siap dibina telah dipindah ke tapak pembinaan Masjid Negara dan turut digunakan semasa pembinaannya. Ini menjadikan kedua-dua binaan ini mempunyai “asas yang sama”.

Stadium Negara juga direka bentuk sebagai sebuah pusat konvensyen dan dewan konsert di samping fungsinya sebagai dewan sukan. Keperluan teknikalnya agak ketat. Penekanan diberikan kepada perancangan, susun atur lantai yang fleksibel, keselesaan (tidak boleh ada aliran udara memandangkan sukan badminton kerapa diadakan di sini) dan pencahayaan. Tempat duduk stadium merupakan satu lagi inovasi yang mengagumkan. Tempat duduk ini disejukkan menggunakan teknik arus yang sama digunakan di dalam kapal terbang pada ketika itu.

Kami berharap imej-imej ini dan kisah disebaliknya menimbulkan rasa bangga dalam diri anda terhadap negara kita. Mereka yang terlibat telah bersusah payah mencurahkan idea bagi membentuk konsep bangunan dan struktur ini.Walaupun usia mercu tanda bersejarah yang kami ceritakan tadi semakin ditelan usia, ia masih berdiri memancarkan simbol yang terdapat padanya. Semoga kita juga terus bersatu dan hidup dalam harmoni di samping menggembleng tenaga menjadikan negara lebih baik. #SayangiMalaysiaku dan Selamat Hari Merdeka!

Setinggi-tinggi penghargaan daripada kami untuk Ang Chee Cheong atas kemurahan hati beliau berkongsi gambar dan fakta sejarah yang diperlukan untuk penulisan artikel ini.