Kisah pembunuhan 2 beradik yang sangat tragis, dibenam dalam lubang jamban di Batu Pahat

Kisah pembunuhan 2 beradik yang sangat tragis, dibenam dalam lubang jamban di Batu Pahat

 

Ramai yang tidak mengetahui kisah pembunuhan tragis yang pernah mengejutkan negara suatu ketika dahulu. Iaitu pembunuhan dua-beradik yang dibunuh akibat melihat perbuatan yang terkutuk.

Jasad Azman Wardi dan adik perempuannya Saniah yang masing-masing berusia 10 dan 3 tahun ditemui dalam lubang najis di belakang rumah di Kampung Muhibbah, Peserai, Batu Pahat, Johor dalam satu insiden pada tahun 1984.

Mayat mereka ditemui dalam keadaan yang sangat menyayat hati iaitu dalam keadaan telah reput dan berulat.

Dua beradik itu dilaporkan dibunuh dengan cara dicekik sehingga mati dan ikat sebelum disumbat ke dalam lubang najis untuk mengelak daripada dikesan.

Cara pembunuhan yang dilakukan oleh pembunuh tersebut menggambarkan perwatakkannya sebagai seorang yang amat kejam.

Sepandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua, jenayah kejam tersebut akhirnya terbongkar.

Fakta Kes

Tertuduh: Sam Ser Abdul Rahim, 31.

Pekerjaan: Buruh Ladang.

Asal: Kampung Muhhibah Peserai Batu Pahat Johor dan menetap di Kampung Teluk Bakung (kira-kira 5 kilometer dari kampung asalnya)

Tuduhan: Membunuh dua beradik, Azman Wardi, 10 dan Saniah, 3.

Tempat kejadian: Di sebuah rumah di Kampung Muhhibah.

Masa: 9.30 pagi, 30 April 1984.

Hakim Mahkamah Tinggi Muar: Datuk Mohamad Eusoff Chin.

Juri: 7 Orang.

Pendakwa: Timbalan Pendakwaraya Saufee Affandi Mohamad.

Peguambela: GF Nelson.

Saksi Pendakwa: 16 Orang.

Saksi Utama: Salmah Muhamed Salleh, 26.

Saksi Pembela: 4 Orang.

Pemandangan Kampung Muhibbah di Peserai, Batu Pahat tidak ada bezanya dengan kampung lain di Johor, yang penuh dengan suasana ketenangan.

Penduduk bukan setakat saling mengenali, malah ramai yang mempunyai ikatan persaudaraan.

Hubungan erat ini menyebabkan ibu bapa biasanya tidak bimbang melepaskan anak-anak bermain sekitar kampung.

Anak-anak pula tahu bahawa mereka mesti pulang sebelum senja menjelang. Jika tidak, berbiratlah belakang badan dirotan atau telinga merah dipulas.

Kampung Muhibbah tiada bezanya seperti kampung-kampung lain di Johor yang penuh dengan suasana kedamaian.

Kejadian jenayah jarang sekali didengari.

Namun pada tarikh 30 Aril 1984, telah mengganggu suasana keharmonian di kampung berkenaan.

Pada petang yang malang tersebut, bukan lagi seperti petang-petang yang biasa bagi pasangan suami isteri iaitu Wardi Wasis, 48 dan Sukiam Hassan, 42.

Ketika anak-anak jiran sudah berada di rumah masing-masing, kebimbangan mula menyerang hati mereka kerana dua anak kesayangan, Azman dan Saniah masih belum muncul walaupun malam makin melabuhkan tirainya.

Belum pernah dua beradik berkenaan pulang selewat ini.

Wardi akhirnya membuat laporan polis berkenaan kehilangan anak-anaknya ada hari yang sama kerana bimbang ada sesuatu yang buruk telah menimpa anak-anaknya.

Pada hari berikutnya, Wardi dibantu sanak-saudara dan penduduk kampung berusaha mencari kedua-dua anaknya tetapi pencarian tersebut menemui jalan buntu.

Pada 7 Mei, penduduk kampung digemparkan dengan penemuan mayat Azman dan Saniah dalam keadaan yang mengerikan di dalam lubang najis di belakang rumah jiran Wardi, Salmah Mohamed Salleh.

Berdasarkan persamaan tali rafia yang digunakan untuk mengikat kanak-kanak malang berkenaan yang dijumpai di rumah Salmah, polis tidak menunggu lama untuk mencari orang yang disyaki.

Salmah ditahan dan keesokannya seorang buruh ladang, Sam Ser Abdul Rahim juga turut ditahan di Kampung Bakung Teluk Batu Pahat.

Dengan penahan mereka, bermulalah pendedahan demi pendedahan yang mengejutkan bukan sahaja berkenaan pembunuhan itu, tetapi hubungan terlarang antara lelaki bujang Sam Ser dengan isteri orang, Salmah.

Cara dua beradik itu dibunuh dengan kejam juga menarik perhatian orang ramai untuk mengikuti pembicaraan Sam Ser yang dituduh membunuh mereka.

Selepas didakwa di mahkamah Majistret Batu Pahat, kes Sam Ser telah dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Muar pada 17 Januari 1987.

Kesetiaan orang ramai untuk mengikuti kisah ini menyebabkan kes tersebut dilabel sebagai ‘perbicaraan mayat dalam lubang najis’.

Dalam perbicaraan awal, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (PPD) Batu Pahat, Assisten Superintenden (ASP) Abdul Rahman Kamil, menceritakan detik penemuan mayat dua beradik itu.

Sebagai pegawai penyiasat kes berkenaan, Abdul Rahman, berkata dia mengetui sepasukan polis ke Kampung Muhibbah selepas dimaklumkan akan penemuan mayat itu kira-kira jam 2.15 petang 7 Mei 1984.

Menurut beliau, lubang najis berkenaan ditutup dengan kepingan papan dengan sekeping papan lapis di bahagian atas dan apabila dialihkan akan tenampaklah mayat Azman yang menghadap ke atas dan adiknya, Saniah ke bawah.

Kedua-dua mayat itu diikat bersama mulai dari bahagian perut hingga ke bahagian leher.

Azman memakai seluar panjang warna coklat dan baju lengan panjang, manakala Saniah memakai baju-T warna merah hati dan seluar bercorak bunga.

Hanya bahagian tulang belakang mayat Azman yang dapat dilihat kerana bahagian badannya yang lain telah hilang akibat pereputan manakala mayat Saniah walaupun tidak reput tetapi tidak seteruk Azman.

Abdul Rahman berkata, polis menghadapi kesukaran untuk memisahkan mayat dua beradik berkenaan kerana mayat mereka diikat dengan menggunakan tali yang kemudiannya terpaksa dipotong.

Kira-kira jam 6.30 petang, seorang pegawai polis wanita, Inspektor Lee Siew Kee, telah memeriksa rumah Salmah dan menemuai empat utas tali yang mana menpunyai persamaan dengan tali yang digunakan untuk mengikat mayat dua-beradik berkenaan.

Pada hari keempat perbicaraan kes tersebut adalah giliran Salmah sebagai saksi pendakwa untuk memberi keterangan mengejutkan apabila dia menuduh Sam Ser, 31, sebagai pembunuh dua beradik malang berkenaan.

Menurut keterangan Salmah, Sam Ser adalah orang membunuh dua beradik berkenaan sebelum mencampakkannya ke dalam lubang najis di belakang rumahnya.

Di dalam keterangan tersebut, dua beradik berkenaan, masuk ke bilik tidurnya ketika Sam Ser dalam keadaan telanjang.

Menurut Salmah pada hari kejadian, Sam Ser datang ke rumahnya kira-kira jam 8 pagi dan selepas berbual seketika mereka memutuskan untuk melakukan hubungan seks.

Menyedari akan kehadiran dua beradik itu, Sam Ser bingkas bangun lalu terus meluru ke arah Azman. Sam Ser menangkap Azman lalu mencekiknya sehingga mati begitu juga dengan Saniah yang menerima nasib yang sama.

Setelah mengikat mayat kedua beradik itu, Sam Ser mengheret dan menyumbat mayat mereka ke dalam lubang najis.

Sam Ser juga turut memberi amaran akan membunuh Salmah jika memberitahu hal tersebut kepada orang lain.

Perbicaraan tersebut berakhir apabila mahkamah akhirnya membuat keputusan bahawa Sam Ser tidak bersalah dan kes tersebut menjadi misteri sehingga ke hari ini.

Kes ini tidak dapat diselesaikan walaupun Salmah sendiri yang bertindak sebagai saksi utama dalam kes ini. Walaupun terpaksa mengaibkan diri sendiri.

Sumber : Orang Johor