KJ pertahan pembangkang tak sokong SOSMA, ini penjelasannya

KJ pertahan pembangkang tak sokong SOSMA, ini penjelasannya

TINDAKAN pembangkang tidak menyokong usul lanjutan penguatkuasaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) di Dewan Rakyat pada Rabu lalu, tidak melanggar Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, mesyuarat Kabinet pada Jumaat telah membincangkan perkara itu dan mendapati ahli-ahli Parlimen pembangkang tidak melanggar MoU yang dimeterai antara kerajaan dengan Pakatan Harapan (PH) pada September tahun lalu.

“MoU hanya terpakai kepada undang-undang atau RUU (rang undang-undang) yang boleh menyebabkan hilang kepercayaan kepada kerajaan. Itu hanyalah sama ada RUU perbekalan yang lebih dikenali sebagai bajet atau usul tidak percaya (kepada Perdana Menteri).

“Kalau undang-undang biasa macam usul Sosma dan lain-lain, saya rasa tidak tertakluk kepada MoU sebab ia tidak bermaksud bahawa sudah hilang kepercayaan kepada kerajaan cuma tidak setuju dengan peruntukan Sosma, itu saja. Bukan menentang kerajaan,” katanya kepada media selepas melancarkan MyChampion Peringkat Kebangsaan, di Sepang pada Sabtu.

Dewan Rakyat pada Rabu gagal meluluskan usul untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Sosma untuk lima tahun lagi, selepas keputusan undian belah bahagian menunjukkan hanya 85 Ahli Parlimen menyokong, manakala 86 Ahli Parlimen tidak menyokong, selain 49 Ahli Parlimen tidak hadir.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada Khamis dilaporkan berkata, MoU antara kerajaan dengan PH belum terbatal berdasarkan klausa 4.1 dalam MoU itu yang memperuntukkan perjanjian itu tidak terus tamat jika usul kerajaan tidak disokong.

Wan Junaidi berkata, MoU yang dimeterai antara kerajaan Persekutuan dengan PH pada 13 September tahun lalu itu hanya akan tamat apabila kedua-dua pihak bersetuju untuk menamatkan MoU berkenaan.

MoU Transformasi dan Kestabilan Politik itu ditandatangani Perdana Menteri,Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP ketika itu, Lim Guan Eng, Presiden Parti Amanah, Mohamad Sabu dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Setiausaha Agung DAP yang juga Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke pula dilaporkan berkata, tindakan pembangkang tidak menyokong usul Sosma itu tiada kena-mengena dengan MoU, yang menurutnya dalam MoU itu terdapat dua perkara sahaja iaitu pembangkang akan menyokong dan berkecuali dalam bajet dan undi percaya kepada Perdana Menteri.

“Semua RUU dan usul lain perlu dirunding dan bebas untuk kami mengambil pendirian seperti dalam kes Sosma ini tiada rundingan dibuat sebelum dibentang dan kita bebas mengambil pendirian kita,” kata Loke.

Khairy dalam pada itu berkata, beliau difahamkan oleh pihak pembangkang bahawa keputusan tidak menyokong usul Sosma yang dibawa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin itu tidak membawa maksud mereka hilang kepercayaan kepada Ismail Sabri.

“Pembangkang pun sebut tidak bermaksud bahawa mereka menarik sokongan kepada MoU dan bermaksud hilang kepercayaan kepada kerajaan.

“Ini hanya kerana mereka tidak setuju dengan usul Sosma itu sendiri, pelanjutan peruntukan penahanan 28 hari tanpa bicara,” katanya.