Ku Nan kata ditawar jawatan TPM, dengar pun nak termuntah

Ku Nan kata ditawar jawatan TPM, dengar pun nak termuntah

 

HAKIKATNYA tidak ada mana-mana tokoh pemimpin mahu menawarkan Datuk Seri Tengku Adnan Mansor dengan jawatan Timbalan Perdana Menteri, kata Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

Ini kerana katanya bekas Setiausaha Agung Umno itu adalah liabiliti kepada parti yang reputasinya amat teruk sekali.

“Tawaran jawatan Timbalan Perdana Menteri kepadanya adalah satu pembohongan sama sekali. Saya rasa kini bila orang dengar nama Tengku Adnan semua nak termuntah.

“Selepas PRU14 ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjawat jawatan Perdana Menteri kali kedua, beliau (Tengku Adnan) yang ‘terhegeh-hegeh’ berjumpa dengan Dr Mahathir kononnya hendak berbincang mengenai penyatuan,” katanya hari ini, lapor Malaysiapost.

Khairuddin berkata Dr Mahathir tidak pernah mengundang Tengku Adnan untuk pertemuan serta tidak ditawarkan sebarang jawatan.

“Seandainya Tengku Adnan membayangkan beliau ditawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri oleh Dr Mahathir itu adalah penipuan yang tidak boleh diterima oleh akal fikiran yang waras,” katanya.

Baru-baru ini, Tengku Adnan yang juga Ahli Parlimen Putrajaya mendakwa pernah ditawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri oleh kerajaan sebelum ini sekiranya bersedia meninggalkan Umno.

Namun, katanya kerana sayangkan Umno dan tidak mahu dilabel pengkhianat, beliau enggan mengikut kehendak pihak berkenaan, namun tidak menjelaskan secara terperinci kerajaan mana menawarkannya jawatan tersebut.