Kucing mati dijerut dawai, digantung pada tingkap

Kucing mati dijerut dawai, digantung pada tingkap

 

Seekor kucing ditemui mati dalam keadaan tragis apabila dijerut dengan dawai pada leher lalu digantung pada bingkai tingkap sebuah kediaman di Persiaran Intan, Hulu Langat, Selangor pada Jumaat lalu.

Presiden Persatuan Haiwan Malaysia, Arie Dwi Andika berkata insiden ngeri itu disedari berlaku kira-kira jam 10 pagi oleh penduduk di sekitar kediaman itu.

“Satu laporan polis dibuat kira-kira jam 1.11 pagi supaya satu siasatan terperinci dilakukan terhadap penjenayah berkelas haiwan ini.

“Kes itu juga selaras dengan Akta Kebajikan Haiwan 2015,” katanya dalam perkongsian di Facebook pada Sabtu.

Gambar: Persatuan Haiwan Malaysia/Facebook

Tambah Arie Dwi, pihaknya turut berharap agar pihak berkaitan mengambil tindakan sewajarnya ke atas penjenayah.

“Persatuan Haiwan Malaysia menggesa untuk mengambil tindakan dengan menahan individu disyaki dan menjalankan siasatan terperinci.

“Termasuk melakukan pendakwaan segera sekiranya cukup fakta kes,” tambahnya.

Gambar: Persatuan Haiwan Malaysia/Facebook

Arie Dwi juga menuntut tindakan pantas dilakukan ke atas penjenayah bagi memastikan Sistem Keadilan Jenayah Haiwan Malaysia berjalan dengan baik.

Beliau turut mahu tiada toleransi diberikan kepada penjenayah dan berharap pihak berkuasa tidak memandang ringan terhadap jenayah yang melibatkan haiwan.

“Bimbang ia akan menjadi trend dan melarat menjadi jenayah terhadap manusia.

“Jenayah haiwan adalah satu jenayah berat yang ada peruntukan dalam undang-undang dalam Akta Kebajikan Haiwan 2015,” katanya.

Panjang Umur, kucing gemuk jatuh dari tingkat 6 terselamat tanpa sebarang kecederaan

Baru-baru ini, media melaporkan seekor kucing gemuk yang terjatuh dari tingkat enam sebuah kondominium sebelum menimpa cermin sebuah kereta di Bangkok dilaporkan terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Memetik The Thaiger, akibat kejadian itu, cermin belakang kenderaan tersebut telah mengalami kerosakan dan pecah.

Pemilik kenderaan, Apiwat Toyothaka menerusi muat naik di Facebook miliknya telah berkongsi gambar kucing yang bernama Shifu dan keadaan cermin belakang keretanya.

Berdasarkan gambar-gambar tersebut, tiada kecederaan ditunjukkan telah terjadi kepada kucing tersebut.