Lalitha tak gentar, sedia berhadapan Azam Baki di mahkamah

Lalitha tak gentar, sedia berhadapan Azam Baki di mahkamah

Lalitha Kunaratnam bersedia untuk membuktikan di mahkamah kandungan artikel dalam talian berhubung isu pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dalam syarikat senaraian awam.

Menurut pernyataan pembelaan pemberi maklumat itu terhadap saman fitnah ketua agensi antirasuah berkenaan, dia menegaskan penulisannya mengenai isu itu berdasarkan dokumen disediakan oleh laman web seperti Edisi Siasat.

Azam menyaman dua artikel aktivis itu berjudul “Business Ties Among MACC Leadership: How Deep Does It Go? (Part 1)” dan “Business Ties Among MACC Leadership: How Deep Does It Go? (Part Two)” disiarkan agensi Independent News Service (INS) yang berpengkalan di Asia pada penghujung tahun lalu.

Menurut pernyataan pembelaan yang difailkan semalam dan dilihat oleh Malaysiakini, Lalitha (gambar, judul) menegaskan bahawa artikelnya menyentuh perkara kritikal kepentingan awam yang pada mulanya dibangkitkan oleh Edisi Siasat dan laman web lain pada September tahun lepas.

Tegasnya, laporan dalam talian di laman web ini – mengenai dakwaan konflik kepentingan dan kaitan perniagaan yang melibatkan SPRM dan entiti korporat, pegangan saham dan jawatan pengarah – menjadi tular.

Dia mendakwa isi kandungan artikel-artikel dan ciapannya di Twitter “adalah berdasarkan kepada kewartawanan penyiasatan yang bertanggungjawab dan analisis neutral yang tidak berat sebelah terhadap fakta dan maklumat yang diperolehi, yang mana boleh diakses daripada domain awam.”

Lalitha menegaskan: “Artikel-artikel tersebut tidak berkaitan secara eksklusif dengan plaintif (Azam) tetapi menangani isu nasional dan politik yang lebih luas tentang kemungkinan rasuah dan hubungan entiti perniagaan yang sedang diketengahkan dalam media Malaysia.”

Lalitha mendakwa sejak sebelum dia mula menulis artikelnya dan sehingga dia menyiapkan penulisannya pada Oktober tahun lalu, dia telah mencuba beberapa kali untuk mendapatkan maklum balas daripada Azam berhubung isu itu, tetapi dia didakwa tidak memberikan sebarang jawapan.

Hujahnya, ketua SPRM itu akhirnya menjawab melalui sidang akhbar pada 5 Jan selepas berdiam diri selama tiga bulan berikutan pelbagai perkembangan yang dilaporkan media mengenai isu itu.

Antara perkembangan yang disebut ini ialah penolakan speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun terhadap usul tergempar untuk membincangkan isu itu di Parlimen.

Dia juga memetik peletakan jawatan ahli ekonomi Edmund Terence Gomez daripada Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM pada 27 Dis tahun lepas, berhubung dakwaan tidak mengambil tindakan mengenai isu itu.

“Sebagai alternatif, defendan (Lalitha) akan berusaha untuk mewajarkan penerbitan tersebut dan makna yang dikaitkan dengannya…,” katanya.

“Defendan pada perbicaraan tindakan ini akan merujuk secara terperinci kepada fakta dan data yang sedia tersedia secara umum dalam hal ini kepada latihan beliau dalam kewartawanan penyiasatan,” katanya lagi.

Dalam saman sivil untuk fitnah, justifikasi ialah pembelaan bahawa kenyataan atau dakwaan itu adalah benar, dan jika terbukti berjaya di mahkamah, akan bertindak sebagai pembelaan mutlak terhadap tindakan undang-undang.

Lalitha memetik pembelaan pelaporan berhubung artikelnya mengenai isu pegangan saham Azam yang dikaitkan dalam saman fitnah oleh ketua SPRM itu.

Pelaporan (reportage) sebagai pembelaan terhadap saman fitnah adalah apabila ia melibatkan pelaporan neutral tanpa menerima pakai atau menyokong laporan itu, selagi kedua-dua pihak pertikaian telah dilaporkan secara adil dengan cara yang tidak berpihak.

“Defendan (Lalitha) memplid pembelaan “Reportage” dan menyatakan bahawa artikel-artikel (disangkal) telah diterbitkan hasil daripada laporan penyelidikan Defendan yang adil dan neutral dan ia terpakai untuk pembelaannya yang mana intipati (essence of) pelaporan neutral ialah penerbitan maklumat untuk kepentingan awam.

“Plaintif (Azam) menyatakan bahawa berdasarkan tujahan (“thrust”) artikel-artikel yang disangkal secara keseluruhannya, kesan artikel tersebut bukanlah untuk menerima kebenaran apa yang diperkatakan, tetapi untuk merekodkan fakta bahawa kejadian yang dikatakan memfitnah itu berlaku.

“Daripada tujahan artikel-artikel tersebut, Defendan telah menyiarkan artikel-artikel itu berdasarkan apa yang dia ekstrak daripada sumber yang disahkan dan merumuskan maklumat dengan tepat, adil dan secara neutral.

“Defendan memplid bahawa artikel-artikel tersebut adalah pelaporan neutral bagi transaksi yang dikaitkan dengan cara yang adil, tidak berminat dan neutral,” katanya lagi.