Lelaki ini dakwa ‘dipaksa’ tinggal di wad ICU Covid-19
Media sosial terutama Facebook kecoh dengan rakaman audio membabitkan seorang pesakit Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang (HPP) yang mendakwa diculik dan dipaksa berada di ICU oleh kakitangan hospital berkenaan.
Menerusi rakaman audio yang tular sejak semalam itu, pesakit berkenaan mendakwa dirinya masih sihat namun dipaksa memakai alat bantuan pernafasan oleh petugas kesihatan.
Dengan menggunakan tanda pagar, #BebaskanAffendy, individu yang mendakwa mengenali pesakit berkenaan mahu doktor bertugas segera ‘membebaskan’ pesakit itu.
Kosmo melaporkan, pesakit juga mendakwa dia bernafas dengan baik sebelum dipaksa menggunakan alat bantuan pernafasan berkenaan.
Malah pesakit juga mendakwa, dia yang dirawat di HPP sejak minggu lalu hanya datang untuk membuat saringan Covid-19 sebelum ‘diangkut’ untuk dirawat di dalam wad pesakit Covid-19.
Menerusi rakaman audio berkenaan, pesakit juga mendakwa rakannya turut berdepan masalah yang sama apabila ditahan di ICU selepas datang ke HPP untuk membuat saringan Covid-19.
Dalam pada itu, Pengarah HPP, Datuk Dr Teo Gim Sian ketika dihubungi berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang akan mengeluarkan kenyataan berhubung isu berkenaan dalam tempoh terdekat.