Lelaki Rusia maut diserang jerung

Lelaki Rusia maut diserang jerung

 

Lelaki Rusia dilaporkan sempat menjerit ‘papa’ ketika diserang oleh seekor jerung di sebuah pusat peranginan Hurghada, Mesir, lapor Daily Mail.

Kejadian ngeri yang memperlihatkan aksi serangan ganas itu telah disaksikan oleh pelancong lain yang berada di pesisir pantai pusat peranginan tersebut.

Walau bagaimanapun, teman wanita lelaki terbabit terselamat selepas berjaya melarikan diri sebelum serangan itu berlaku.

Pelancong lelaki itu dipercayai berusia 23 tahun dan sudah lama berada di Mesir.

Menurut laporan berita Baza di Russia, lelaki itu bernama Vladimir Popov dan telah berpindah ke resort itu bersama bapanya beberapa bulan lalu.

Selain pelancong lain, bapa mangsa turut menjadi saksi serangan ganas tersebut

Dalam kejadian itu, bapa mangsa turut menjadi saksi bagi serangan maut jerung tersebut dari pantai pusat peranginan terbabit.

Sementara itu, video rakaman serangan itu telah tersebar dan tular di beberapa platform media sosial.

Rakaman itu menunjukkan lelaki tersebut menjerit sekuat hati memanggal ‘Papa’, ‘Papa’ ketika pemangsa berkenaan menyerangnya dari dalam air. Haiwan itu kemudian sempat dilihat mengelilinginya sebelum melancarkan serangan seterusnya.

Kredit Twitter

Lelaki tersebut juga dapat dilihat cuba berenang ke arah pantai, namun tidak sempat kerana dia sekali lagi diserang oleh jerung berkenaan.

Berdasarkan video itu lagi, serangan tersebut telah menyebabkan tubuhnya berputar di dalam air dan kakinya terangkat ke permukaan air. Suara latar di dalam rakaman jelas kedengaran orang ramai menjerit ketakutan dan meminta lelaki itu berenang ke darat.

Kredit Twitter

“Berenanglah, berenang! Cepat! Jerung!” kedengaran suara di sebalik rakaman video itu.

Percikan di dalam air berhenti dan kepala lelaki itu kembali timbul ke permukaan air. Lelaki berkenaan boleh didengari menjerit ‘Papa’, merayu meminta tolong selepas air di sekitarnya bertukar merah.

Lelaki berkenaan muncul buat kali terakhir dan badan jerung itu dilihat bergelut di dalam air sebelum menyeret mangsa jauh ke dasar.

Kredit Twitter

Disahkan maut akibat diserang jerung

Dalam pada itu, Kementerian Luar Rusia mengesahkan kematian seorang warganegaranya akibat serangan jerung tersebut.

Seorang pelancong wanita Rusia yang tidak mahu dikenali berkata: “Para penyelamat bertindak balas dengan cepat. Saya segera merasakan bahawa ia adalah serangan jerung.

“Saya segera melompat dan menjerit, ‘Jerung! Selamatkan diri!.” kata saksi itu.