Ludah mayat Lata Mangeshkar? Ini penjelasan Shah Rukh Khan

Ludah mayat Lata Mangeshkar? Ini penjelasan Shah Rukh Khan

Tular Dakwaan Shah Rukh Khan Ludah Pada Mayat Lata Mangeshkar, Ini Sebenarnya Yang Terjadi

Umum mengetahui penyanyi lagenda India, Lata Mangeshkar telah menghembuskan nafas terakhirnya pada Ahad yang lalu selepas dijangkiti Covid-19.

Dikenali sebagai ‘Queen of Melody’, pemergian mendiang yang berusia 92 tahun bukan sahaja diratapi rakan selebriti dan rakyat India malahan peminat Bollywood di seluruh dunia.

Ramai kemudian turun padang untuk memberikan penghormatan terakhir kepada Lada sewaktu upacara pembakaran mayatnya di Shivaji Park, Mumbai termasuklah aktor terkenal Shah Rukh Khan (SRK).

Namun siapa sangka, kehadiran SRK bersama pengurusnya pada upacara tersebut menimbulkan cerita kurang enak apabila ada netizen mendakwa dia meludah ke mayat mendiang.

Ini kerana SRK di dalam video tular dilihat membuka pelitup mukanya sambil mulutnya seperti meniup sesuatu sebelum  meletakkan kalungan bunga dan menyentuh kaki Lata Mangeshkar sebagai penghormatan terakhir kepada penyanyi itu.

Penularan info tidak berasas tersebut menyebabkan orang ramai yang tidak tahu pucuk pangkal insiden mula mengkritik SRK.

Shah Rukh Khan hanya titip doa

Namun kecaman tersebut tidak kekal lama apabila satu demi satu rakan selebriti dan figura umum termasuk netizen tanpa mengira agama tampil mempertahankan aktor terkenal itu apabila menjelaskan ia hanyalah ritual yang biasa dilakukan penganut islam di sana.

Malah Shah Rukh sebelum itu dilihat menadah tangan berdoa sebelum membuka pelitup mukanya dan meniup kepada jenazah Lata seolah-olah menitipkan doa yang dibacanya.

Ahli parlimen India, Sanjay Raut turut tampil dan menempelak mereka yang mereka-reka cerita tersebut dan menyifatkan mereka telah memfitnah Shah Rukh Khan.

”Ia amat memalukan apabila ada individu yang sengaja mengecam Shah Rukh Khan. Segelintir mereka sengaja berbuat demikian demi tujuan politik atau unsur agama walaupun negara sedang bersedih dengan pemergian Lata. Kami tahu siapa pihak tersebut dan tidak perlu didedahkannya,” kata Sanjay.

Bahkan jabatan yang menyemak fakta di bawah portal India Today iaitu India Today Anti-Fake News War room (AFWA) turut mengeluarkan kenyataan bahawa SRK tidak meludah sebaliknya hanya mendoakan pemergian Lata dan meniup bacaan ruqyah kepadanya.