Mahu jual menara telekomunikasi, apa nasib pengguna U Mobile?
U Mobile kini dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk menjual menara telekomunikasi milik mereka, pada nilai sekitar RM500 juta. Ia dikatakan terdapat beberapa pihak yang kini dalam perbincangan, termasuk salah satunya adalah Edotco.
U Mobile pada hari ini mempunyai lebih 7 juta pelanggan, dan ia memiliki 1,611 menara telekomunikasi di Malaysia.
Buat masa ini, perkara berkaitan ini masih pada peringkat awal, dan terdapat kemungkinan jualan ini tidak berlaku.
Pelbagai syarikat telekomunikasi kini dalam persediaan untuk memperkenalkan perkhidmatan 5G masing-masing, dengan sasaran kerajaan ia akan bermula pada penghujung 2021 ini.
Ia tidak lagi diketahui apakah perancangan disebalik U Mobile ingin menjual menara telekomunikasi mereka. Baru-baru ini, U Mobile turut telah memperluaskan penawaran meliputi jalur-lebar tetap, selain turut diperkatakan sedang melihat kepada penawaran IPO tidak lama lagi, lapor Amanz.