Malaysia catat kes Covid19 tertinggi, 33,209 kes baharu!

Malaysia catat kes Covid19 tertinggi, 33,209 kes baharu!

PENINGKATAN kes Covid-19 di Malaysia semakin membimbangkan apabila 33,209 kes baharu dicatatkan semalam, sekali gus paling tinggi pernah direkodkan sejak pandemik.

Ia sekali gus menjadikan jumlah kumulatif jangkitan sebanyak 3,561,766 kes sejak virus maut itu melanda negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kes harian yang direkodkan semalam membabitkan 32,768 kes tempatan dan 441 kes import.

“Sebanyak 12,935 kes iaitu 38.95 peratus dalam kategori 1, dan 20,071 kes atau 60.44 peratus adalah kategori 2.

“Kategori 3 mencatatkan 98 kes iaitu 0.30 peratus, kategori 4 sebanyak 52 kes dengan 0.15 peratus, manakal kategori 5 sebanyak 53 kes atau 0.16 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, daripada 203 kes kategori 3, 4 dan 5, sebanyak 43 kes iaitu 21.18 peratus tidak atau belum divaksinasi, 117 kes sudah menerima dua dos vaksin dan 43 kes sudah menerima dos penggalak.

“Manakala, 119 kes berumur 60 tahun ke atas, 67 kes mempunyai komorbid, satu kes ibu mengandung,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, terdapat pertambahan 17 kluster baharu direkodkan menjadikan keseluruhan kluster setakat ini adalah 6,826 kluster dengan 6,350 kluster telah tamat dan 476 kluster masih aktif.

“Jumlah kes sembuh pula adalah sebanyak 26,352 kes menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 3,223,650 kes,” katanya.