Maruah SPRM tercalar teruk, perlu dipulihkan!

Maruah SPRM tercalar teruk, perlu dipulihkan!

MESYUARAT Khas Penggal Keempat Parlimen Ke-14 yang akan diadakan selama enam hari bermula 20 Januari ini perlu ditambah selama enam hari lagi bagi membentang dan membahas dua isu besar yang melanda negara ketika ini.

Pelanjutan tempoh mesyuarat khas itu disuarakan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang menurutnya adalah perlu bagi membincangkan isu banjir dan juga Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau yang juga Naib Presiden Amanah berkata, tiga hari perlu diperuntukkan bagi membincangkan kertas putih isu banjir dan pasca banjir dan tiga hari lagi bagi membahaskan isu berkaitan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

“Sidang khas bagi memberi peluang kepada kerajaan mengemukakan Kertas Putih yang melibatkan aktiviti Azam Baki memiliki saham.

“Alibi dan pendedahan Ketua Pesuruhjaya SPRM serta kenyataan Tan Seri Abu Zahar selaku Pengerusi Panel Penasihat SPRM semalam mengundang lebih banyak keraguan, menyebabkan Malaysia semakin kehilangan kepercayaan dunia dan rakyat terhadap isu integriti kerajaan.

“Krisis integriti SPRM ini akan memberi kesan buruk yang besar kepada negara. Rakyat mengharapkan agensi SPRM benar-benar memerangi rasuah, tapi kini SPRM dilihat terpalit dengan rasuah dalam negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kegagalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerima pandangan Ahli-ahli Parlimen dan rakyat dalam menangani isu agensi SPRM ini dilihat seolah takutkan Ketua Pesuruhjaya berkenaan.

“Dan juga SPRM yang berkemungkinan mempunyai fail aktiviti rasuah yang membabitkan Perdana Menteri dan anggota kabinet terbongkar.

“Ini memberi kesan kepada pengurusan kewangan negara, mengakibatkan negara kehilangan wang yang besar,” dakwanya.

Menurutnya, kegagalan menangani isu berkenaan juga akan terpalit kepada kegagalan Perdana Menteri mengurus negara dan rakyat.

“Perdana Menteri tidak perlu takut untuk mengambil tindakan tegas terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM.

“Beliau perlu mengembalikan keyakinan rakyat terhadap SPRM bagi mengekang aktiviti rasuah atau segala aktiviti yang menjerumus kepada pecah amanah,” katanya.