Masalah air di Kedah: MB taknak mengaku salah, salahkan kerajaan terdahulu

Masalah air di Kedah: MB taknak mengaku salah, salahkan kerajaan terdahulu

Tindakan mengubah dasar oleh kerajaan Kedah sebelum ini didakwa telah menyebabkan pelan menaik taraf lima loji rawatan air (LRA) di Kedah tertangguh.

Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa jika dasar itu tidak diubah, usaha mengatasi masalah bekalan air di seluruh negeri terbabit dapat dilaksanakan lebih awal dan berkemungkinan tidak berlarutan hingga ke hari ini.

“Hanya setelah berlaku perubahan tampuk kepimpinan kerajaan negeri pada Mei 2020, barulah usaha untuk mengatasi masalah ini digerakkan semula.

“Sejak itu, pelbagai langkah penyelesaian yang lebih konkrit serta komprehensif telah dilaksanakan mengikut prosedur dan nasihat daripada Kementerian Alam Sekitar dan Air serta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara,” katanya dalam kenyataan di Alor Setar semalam.

Sanusi berkata setelah lama tertangguh, projek menaik taraf lima LRA terbabit – iaitu LRA Pelubang di daerah Kubang Pasu, LRA Lubuk Buntar Lama di Bandar Baharu, LRA Sungai Limau di Baling, LRA Jenun Baru di Pendang dan LRA Bukit Selambau di Kuala Muda – dilaksanakan pada pertengahan tahun lepas.

Katanya kesemua projek yang keseluruhannya membabitkan kos RM931 juta itu dijangka siap dalam tempoh antara dua dan tiga tahun lagi.

Sanusi berkata kerajaan negeri juga telah menyusun pelan pengurangan air tidak terhasil (NRW) termasuk penggantian paip di seluruh Kedah, yang keseluruhannya menelan kos hampir RM1 bilion.

Tambahnya selain pelan jangka panjang, Syarikat Air Darul Aman (Sada) juga melaksanakan pelbagai usaha termasuk pelan kontingensi bagi menghadapi masalah gangguan bekalan air pada musim perayaan Aidilfitri baru-baru ini.

“Insya-Allah apabila projek menaik taraf lima LRA serta penggantian paip di seluruh negeri siap kelak, tiada lagi masalah gangguan bekalan air di negeri ini.

“Bagi pihak kerajaan negeri dan Sada, saya memohon berbanyak maaf atas gangguan bekalan air yang sering berlaku di kawasan tertentu, namun yakinlah bahawa usaha untuk mengatasi masalah ini sentiasa dan akan terus dilakukan,” katanya.