Masjid harus jadi contoh supaya rakyat patuh SOP, kata Raja Muda Perlis
Masjid harus menjadi contoh kepada masyarakat agar terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) keselamatan dan kesihatan secara lengkap dan sempurna.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, masjid juga berperanan mendidik masyarakat agar memahami kepentingan mematuhi SOP sebagai ikhtiar mengurangkan risiko jangkitan dan penularan wabak Covid-19.
“Didikan ketika solat dan berada di masjid dengan pematuhan SOP haruslah diterjemahkan dalam kehidupan agar ia turut dipatuhi walaupun ketika berada di tempat lain seperti pasar, kedai, tempat kerja ataupun di rumah sendiri.
“Ibadah solat mempengaruhi kehidupan manusia bermula daripada menjaga kebersihan dan kesucian serta kewajipan mematuhi arahan ketua (pemimpin atau kerajaan),” titah baginda menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) pada Selasa, lapor Sinar Harian.
Baginda yang juga Yang Dipertua MAIPs berharap MAIPs dapat terus memainkan peranannya dalam membantu masyarakat dengan seluruh kekuatan jenteranya bagi sama-sama menangani impak penularan Covid-19.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah, MAIPs mengalu-alukan sumbangan idea, pandangan dan maklumat kepada pihak pengurusan dalam usaha untuk terus memperbaiki dan memperkemas pengurusan pada masa depan.