Mat Sabu mengaku sokongan Melayu pada PH makin teruk

Mat Sabu mengaku sokongan Melayu pada PH makin teruk

 

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Melaka telah memperlihatkan sokongan orang Melayu semakin kendur terhadap Pakatan Harapan (PH).

Ia diakui Presiden Amanah, Mohamad Sabu yang berkata, antara punca utama PH tumbang di Melaka apabila tidak mendapat kepercayaan orang Melayu.

Bagaimanapun, beliau yang mesra disapa Mat Sabu berkata, kekalahan teruk PH di Melaka dilihat sebagai hikmah bagi membolehkan mereka menilai iklim sebenar politik negara.

“Kita lihat hilangnya sokongan orang Melayu kepada PH. Baguslah PRN Melaka itu dibuat, dapat kita mengukur keadaan sebenar. Oleh itu PH akan bermesyuarat Isnin ini bagi membincangkan hal ini.

“Yang utama sekali, kita kena banyakkan rakan berbanding lawan dan hilangkan persepsi negatif yang ditanam terhadap PH.

“(Persepsi) bukan betul pun, malah sekarang kita nampak PAS Kelantan sendiri pun mula sebut rasa nikmat di bawah kerajaan PH yang beri RM400 juta duit petroleum kepada Kelantan,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Konvensyen Amanah Kelantan Kali Keenam di Kota Bharu, malam tadi.

Mohamad berkata, berdasarkan PRN Melaka, rakyat Malaysia dilihat masih mudah termakan dengan umpan perkauman dan perkara itu terus menjadi modal survival pihak yang mahu berkuasa atau mengambil alih kuasa.

BN memenangi 21 daripada 28 kerusi iaitu dua pertiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, menyaksikan tambahan lapan kerusi, berbanding 13 kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Gabungan itu menewaskan PH yang hanya memenangi lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dua kerusi.