Maut dilanggar Myvi, polis cari pemandu King Of The Road

Maut dilanggar Myvi, polis cari pemandu King Of The Road

Polis masih mengesan pemandu kenderaan dalam kejadian langgar lari yang menyebabkan dua sahabat maut di Kilometer 13, Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai, tengah malam Jumaat lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Mohd Suhaimi Ali, berkata anggotanya turut menjalankan pemeriksaan di beberapa bengkel sekitar Kota Bharu bagi memastikan sama ada terdapat kenderaan dibaiki ada persamaan dengan kejadian itu.

“Dalam kejadian itu, berdasarkan serpihan komponen yang ditemukan di lokasi, kami mengesyaki dua mangsa dilanggar Perodua Myvi berwarna jingga.

“Bagaimanapun menerusi pemeriksaan yang dibuat di beberapa bengkel membaiki kereta sekitar daerah ini, tiada penemuan yang berkaitan diperoleh,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, hari ini.

Mohd Suhaimi berkata, pihaknya juga tidak menerima sebarang laporan yang dibuat sama ada daripada pemandu atau mana-mana saksi di seluruh balai setakat ini.

Sehubungan itu beliau meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung dengan balai polis berhampiran.

“Selain itu, kami juga menjalankan pemeriksaan sama ada secara ‘snap check’ atau ketika sekatan jalan raya untuk mengesan individu berkenaan bagi siasatan lanjut,” katanya.

Dalam kejadian jam 12.01 tengah malam itu, dua pendawai elektrik, Shahri Azlin Ibrahim, 36, dan rakan sekerjanya, Muhamad Safuan Mohd Shukri, 25, maut selepas motosikal ditunggang mereka dirempuh sebuah kenderaan.

Kedua mangsa yang dalam perjalanan untuk menyambung bekalan elektrik di Kok Lanas, meninggal dunia di lokasi kejadian berikutan kecederaan parah di kepala dan Shahri Azlin juga putus tangan kanan selepas melambung sejauh 30 meter sebelum terseret di atas jalan.