Mayat ibu dan anak ditemui berpelukan, sangat menyayat hati

Mayat ibu dan anak ditemui berpelukan, sangat menyayat hati

Mayat ibu dan anak perempuannya dalam keadaan berpelukan ditemui di bawah runtuhan tanah di Jalan Batang Kali – Gohtong Jaya, di sini, menjadikan mangsa yang maut setakat ini seramai 18 orang.

Mayat kedua-dua mangsa itu ditemui di Sektor C (Riverside) pada jam 4.40 petang tadi.

Mayat mangsa ditemui berpelukan adalah pasangan ibu dan anak perempuan yang berusia dalam lingkungan tiga tahun.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor berkata, penemuan mayat dua beranak itu menjadikan baki keseluruhan mangsa yang sedang dikesan adalah seramai 15 orang.

“Seramai 230 pegawai dan anggota JBPM dari Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan akan meneruskan pencarian sehingga lewat malam ini.

“Bagaimanapun operasi mencari dan menyelamat (SAR) akan dihentikan sekiranya keadaan cuaca tidak mengizinkan,” katanya.

Satu sidang media akan diadakan dalam masa terdekat oleh Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah bagi memaklumkan perkembangan terkini operasi mencari dan menyelamatkan mangsa.