Memalukan! Pegawai SPRM suspek rompakan berkumpulan

Memalukan! Pegawai SPRM suspek rompakan berkumpulan

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan penahanan dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes rompakan berkumpulan melibatkan kerugian RM700,000 pada 10 Disember lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Jalil Hassan berkata siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan iaitu rompak berkumpulan.

Menurutnya, pegawai SPRM masing-masing berusia 37 dan 39 tahun itu direman bermula 16 hingga 19 Disember ini.

“Justeru PDRM menyeru orang ramai supaya memberi ruang kepada polis untuk menjalankan siasatan secara telus dan adil. Kertas siasatan akan dikemukakan ke kamar Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat,” katanya menerusi kenyataan.

SPRM semalam memaklumkan pihaknya telah memberi kerjasama penuh kepada polis berhubung siasatan kes jenayah melibatkan pegawainya.

Menerusi kenyataan, SPRM mengesahkan telah membantu siasatan polis dan menyerahkan dua pegawainya bagi membantu siasatan.

Terdahulu media melaporkan pegawai SPRM yang ditahan polis selepas disyaki terbabit kes rompakan berkumpulan di sebuah rumah di Jalan Ampang pada 10 Disember lalu, disambung reman lima hari.

Seorang lagi individu yang ditahan bersama pegawai berkenaan dibebaskan dengan jaminan polis.

Dalam kejadian itu, tiga lelaki memperkenalkan diri sebagai pegawai penguat kuasa memecah masuk rumah seorang ahli perniagaan berusia 50-an.

Polis yang menjalankan siasatan berjaya menahan dua lelaki termasuk seorang pegawai penguat kuasa pada 12 Disember lalu.