Menang 1-0 pun Arsenal syok habis, macam menang piala
PENGENDALI Arsenal, Mikel Arteta memuji persembahan para pemainnya ketika mencatat kemenangan 1-0 ke atas Burnley dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Turf Moor pada Sabtu.
Menurutnya, kemenangan itu membuktikan The Gunners kini berada di landasan tepat untuk meraih lebih banyak keputusan positif dalam perlawanan akan datang.
“Pemain sudah mula menunjukkan kemampuan dan persembahan yang bagus. Ini apa yang saya mahukan daripada pemain selepas beberapa perlawanan yang hambar.
“Dua kemenangan dan dua perlawanan tanpa bolos. Semoga kami mampu mengulanginya lagi pada perlawanan seterusnya. Kami masih ketinggalan jauh daripada kelompok teratas liga,” katanya.
Dalam perlawanan itu, gol tunggal yang juga gol kemenangan Arsenal dijaringkan oleh pemain tengah, Martin Odegaard pada minit ke-30.
Ia sekali gus menjadi kemenangan kedua berturut-turut buat Arsenal dalam lima perlawanan selepas permulaan hambar mereka dalam permulaan aksi liga.
Dalam pada itu, Arteta mengakui Burnley memberikan tentangan luas biasa dalam perlawanan tersebut terutama selepas Arsenal berjaya menjaringkan gol.
“Ini merupakan kemenangan yang sukar apatah lagi bermain di tempat lawan. Pada babak pertama, ada ketika kami tampil baik dan dominan terutama pada babak pertama.
“Namun, pada separuh masa kedua kami sering kehilangan bola dengan mudah. Ada beberapa pemain yang tidak tampil maksimum tetapi mereka tetap berikan yang terbaik untuk kemenangan ini.
“Saya amat bangga dengan permainan bertahan yang mereka tunjukkan dan saya gembira dengan tiga mata ini,” katanya, lapor Sinar Harian.