Menggila! Malaysia catat rekod Covid19 tertinggi, 31,199!

Menggila! Malaysia catat rekod Covid19 tertinggi, 31,199!

MALAYSIA sekali lagi melakar sejarah hitam apabila mencatatkan kes harian baharu paling tinggi pernah direkodkan dengan 31,199 kes hari ini.

Ia sekali gus menjadikan jumlah kumulatif jangkitan sebanyak 3,305,157 kes sejak virus maut itu melanda negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kes harian itu membabitkan 31,080 kes tempatan dan 119 kes import.

“Sebanyak 99.38 peratus atau 31,005 kes adalah pesakit dalam kategori 1 dan 2 iaitu tidak mempunyai gejala dan bergejala ringan, selebihnya 194 kes bersamaan 0.62 peratus adalah kategori 3, 4 dan 5.

“Daripada 194 kes kategori 3, 4 dan 5, sebanyak 45 kes iaitu 29.65 peratus tidak atau belum divaksinasi, 108 kes sudah menerima dua dos vaksin dan 41 kes sudah menerima dos penggalak.

“Manakala, 92 kes berumur 60 tahun ke atas, 91 kes mempunyai komorbid, tiga kes ibu mengandung,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, terdapat pertambahan 14 kluster baharu direkodkan menjadikan keseluruhan kluster setakat ini adalah 6,746 kluster dengan 6,240 kluster telah tamat dan 506 kluster masih aktif.

“Jumlah kes sembuh pula adalah sebanyak 20,399 kes menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 2,994,840 kes,” katanya.