Menggusarkan! Kes wanita hamil positif dadah di Terengganu meningkat

Menggusarkan! Kes wanita hamil positif dadah di Terengganu meningkat

Kes melibatkan wanita hamil positif dadah dilaporkan meningkat di Terengganu kebelakangan ini.

Perkara itu didedahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md Noor ketika membahaskan titah ucapan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini pada Selasa, lapor Sinar Harian.

Beliau berkata, situasi itu menimbulkan kebimbangan terutama melibatkan tahap kesihatan bayi yang dilahirkan.

“Baru-baru ini, saya menerima maklumat dari One Stop Crisis Center (OSCC) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) bahawa bilangan wanita yang melahirkan anak dan didapati positif dadah semakin bertambah dan membarah.

“Kesannya, bayi yang dilahirkan menerima komplikasi kesihatan daripada pengambilan dadah oleh si ibu,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kes melibatkan keganasan rumah tangga di Terengganu juga dilaporkan meningkat sejak pandemik Covid-19.

“Merujuk kepada data direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 288 kes keganasan rumah tangga berlaku di Terengganu pada 2020 berbanding 215 kes yang direkodkan dalam tempoh sama pada 2019.

“Jumlah terkini diperoleh dari OSCC HSNZ pula menunjukkan sebanyak 114 kes direkodkan sejak Januari hingga Ogos 2021 membabitkan jenayah rogol, cabul, liwat serta penderaan rumah tangga dan kanak-kanak,” katanya.

Sehubungan itu, Zuraida menggesa semua pihak untuk sentiasa menambah baik operasi dan modul terutama melibatkan aspek perlindungan dan kebajikan golongan kurang bernasib baik ini.

Katanya, beberapa inisiatif diambil sebelum ini wajar diperkasakan dalam membela nasib golongan ini.

“Saya mencadangkan supaya Penubuhan Darul Barakah di bawah Exco Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan, Mohd Nor Hamzah yang merupakan Pusat Pemulihan Dadah secara holistik dapat menerima kemasukan penagih wanita.

“Begitu juga dengan penubuhan Raudhatul Jannah atau dikenali sebagai Vila Mawaddah yang merupakan pusat perlindungan bagi anak-anak terbiar di bawah Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional, Hanafiah Mat.

“Usaha ini sangat penting bagi membela nasib kanak-kanak yang tidak mendapat perlindungan sewajarnya dan perlu diberikan pembelaan dari sudut pendidikan, keselamatan dan kebajikan,” katanya.