Mengimbau kisah ngeri runtuhan Highland Tower, ramai tak tahu sebenarnya

Mengimbau kisah ngeri runtuhan Highland Tower, ramai tak tahu sebenarnya

 

Highland Tower sememangnya satu nama yang tidak asing lagi bagi penduduk di Malaysia. Tanggal 11 Disember 1993, bangunan 12 tingkat yang gah berdiri di lereng bukit dan dikelilingi kehijauan hutan akhirnya runtuh menyembah bumi dalam masa tidak sampai 5 minit.

Insiden berkenaan ‘memakan’ 48 nyawa penghuni Blok 1 kondominium berkenaan yang terletak di Taman Hillview, Hulu Klang termasuklah anak lelaki tunggal bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tun Musa Hitam iaitu Carlos Rashid dan isterinya, Rozita Datuk Abu Bakar.

Pada masa yang sama, hanya 2 mangsa sahaja yang terselamat daripada runtuhan yang menjadi sejarah hitam kepada rakyat negara ini.

Jumlah sebenar penghuni yang berada di blok berkenaan tidak dapat dikenal pasti sekali gus menguatkan kemungkinan bahawa ada mayat yang terkubur di tapak Highland Tower kerana tidak berjaya ditemui lebih 2 dekad lalu.

Punca Kejadian

Saban tahun, musim tengkujuh di Malaysia iaitu pada bulan November dan Disember membawa hujan yang begitu lebat sehingga boleh menyebabkan banjir, banjir kilat dan tanah runtuh. Bangunan Highland Tower dipercayai tumbang akibat gelongsoran tanah selepas hujan lebat turun tanpa henti selama 10 hari berturut-turut.

Tahap kelembapan tanah dan kekuatan struktur tanah akhirnya terusik akibat hujan yang turut bagaikan tiada hari esok itu.

Malaysia berada di kawasan iklim Khatulistiwa dan Tropika yang mempunyai jumlah hujan yang tinggi. Jadi, pembinaan bangunan di pinggir kawasan tanah tinggi sememangnya tidak sesuai dan diibaratkan seperti mengundang kecelakaan. Memandangkan Highland Tower dibina di lereng bukit, ia seolah-olah ‘memanggil’ tragedi runtuhan ini untuk berlaku.

Pembinaan Highland Tower ini juga telah mencabuli Akta Pemuliharaan Tanah dan Akta Kualiti Alam Sekeliling kerana melebihi kecerunan 18 darjah di kawasan lereng bukit yang merupakan kawasan sensitif alam sekitar.

Kronologi peristiwa keruntuhan ini juga jelas menunjukkan kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh pihak pemaju sejak bermulanya pembinaan Highland Tower sekitar tahun 1975 hingga 1978.

Selepas 3 tahun kejadian berdarah ini berlaku, Bekas Presiden Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM), Henry Lee Inn Seong memberitahu Mahkamah Koroner Kuala Lumpur bahawa pelukis pelan pangsapuri Highland Tower, Wong Tin Sang tidak mempunyai kelayakan untuk merangka pelan bangunan setinggi 12 tingkat.

Beliau menyatakan bahawa pelukis pelan itu hanya mempunyai kelayakan untuk merangka pelan bangunan tidak melebihi 300 meter persegi atau 3,000 kaki persegi atau tidak melebihi 2 tingkat.

Kronologi Tragedi Highland Tower

11 Disember 1993: Pangsapuri Blok A Highland Tower runtuh pada jam 1.35 petang. Pembantu rumah kepada seorang penghuni kondominium di Tingkat 7, Umi Rashidah Khoruman, 22 dan anaknya, Nur Hamidah Najib, 18 bulan berjaya diselamatkan. Nakajima Shizue, 50, rakyat Jepun turut diselamatkan daripada runtuhan itu tetapi meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) jam 12 tengah malam.

12 Disember 1993: Penghuni Blok B dan C Highland Tower di Taman Hillview, Hulu Klang diarah untuk mengosongkan rumah mereka kerana khuatir kejadian yang sama bakal menimpa mereka. Pasukan mencari dan menyelamat dari Britian dan Amerika Syarikat tiba untuk membantu.

13 Disember 1993: Sekumpulan anggota penyelamat Perancis bersama 2 ekor anjing pengesan turut menyertai operasi. Teknologi pengesan degup jantung digunakan oleh mereka. Jawatankuasa Kabinet ditubuhkan khusus untuk menangani semua masalah berhubung tragedi Pangsapuri Highland Tower.

15 Disember 1993: 6 mayat termasuk 2 yang hancur menjadi cebisan daging dan tengkorak dijumpai oleh pasukan penyelamat dalam runtuhan itu. 4 mayat reput itu dipercayai merupakan 2 rakyat Korea dan 2 rakyat tempatan.

16 Disember 1993: Mangsa yang berjaya diselamatkan pada hari pertama kejadian, Umi Rashidah dan Nur Hamidah dibenarkan keluar dari HKL.

17 Disember 1993: Pasukan penyelamat mencadangkan supaya operasi menyelamat mangsa hidup dihentikan dan Jawatankuasa Khas Kabinet bersetuju dengan cadangan itu.

18 Disember 1993: 6 lagi mayat termasuk mayat seorang kanak-kanak berjaya ditemui oleh pasukan penyelamat.

19 Disember 1993: Pasukan penyelamat menemui 3 mayat iaitu 1 mayat wanita reput terbenam kira-kira 8 meter di tempat letak kereta pada jam 7 malam. Mayat kedua, juga wanita ditemui pada jam 8.30 malam berdekatan mayat pertama manakala mayat ketiga dipercayai lelaki ditemui pada jam 10.15 malam.

20 Disember 1993: Setakat ini, 25 mayat termasuk seorang yang memeluk al-Quran ditemui di tingkat 12. Turut ditemui mayat seorang wanita yang memakai sari dan sedang memeluk seorang kanak-kanak dipercayai anaknya.

21 Disember 1993: Operasi mencari dan menyelamat diteruskan dan polis mengesahkan 48 mayat ditemui daripada runtuhan Highland Tower. Daripada jumlah itu, 37 mayat ditemui sempurna, 9 bahagian badan dan 10 cebisan anggota badan iaitu tangan, kaki, kepala serta paha.

22 Disember 1993: Operasi mencari dan menyelamat dihentikan.

Apa Ada Di Sana Setelah Lebih 2 Dekad Berlalu?

Sejak hari berdarah itu, pelbagai kisah dan misteri yang tidak terungkai sehingga hari ini terkubur di Highland Tower.

‘Pemburu’ hantu juga tidak melepaskan peluang untuk merungkaikan segala misteri apabila pelbagai versi cerita hantu disampaikan dari mulut ke mulut dan ditokok tambah oleh masyarakat kita.

Sesungguhnya, peristiwa runtuhnya Highland Tower merupakan sejarah paling menggerunkan dunia geoteknik, arkitek dan kejuruteraan di Malaysia kerana ia mencatatkan angka kematian paling ramai. Apa-apa pun, semoga kita semua dapat mengambil iktibar daripada tragedi ini.