Menteri agama ambil tugas menteri kewangan jawab isu 1MDB di parlimen

Menteri agama ambil tugas menteri kewangan jawab isu 1MDB di parlimen

Senator Datuk Ustaz Idris Ahmad menjadi `Menteri Kewangan’ apabila menjawab soalan berhubung hutang 1MDB ketika sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Ini berikutan apabila Menteri dan Timbalan Menteri Kewangan tiada di dalam Parlimen untuk menjawab soalan kedua sesi MQT yang ditanya oleh M Karupaiya (PH-Padang Serai).

Ketiadaan Menteri Kewangan dan timbalannya menyebabkan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon, meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk menjawab kerana dimaklumkan tiada wakil dari Kementerian Kewangan.

Keputusan itu menyebabkan keadaan Dewan Rakyat kecoh apabila beberapa Ahli Parlimen menyuarakan rasa tidak puas hati.

“Menteri Kewangan tidak ada, diambil maklum. Minta Menteri di Jabatan Perdana Menteri untuk menjawabnya,” kata Mohd Rashid.

Walaupun keadaan kecoh, Idris kelihatan tenang dan terus membacakan jawapan mewakili Kementerian Kewangan, manakala ketika sesi soalan tambahan, beliau memberitahu bahawa soalan akan dijawab secara bertulis.

Ketika menjawab soalan Padang Serai, Idris berkata, kerajaan bagi tempoh antara April 2017 hingga November 2021 menyalurkan bantuan kewangan dalam bentuk pinjaman atau pendahuluan sebanyak RM10 bilion melalui Kementerian Kewangan dan syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) bagi tujuan bayaran komitmen dan faedah hutang 1MDB.

Menurutnya, faedah hutang 1MDB juga dibiayai dengan menggunakan dana pemulihan aset 1MDB yang diakaunkan dalam satu akaun amanah di bawah Kementerian Kewangan yang diberi nama Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset (Assets Recovery).

Setakat 28 Februari lalu, katanya jumlah dana pemulihan aset 1MDB yang berjaya didapatkan kembali adalah sebanyak RM19.14 bilion daripada beberapa mata wang asing termasuk Dollar AS, Dollar Singapura dan Dollar Australia.

“Dana ini telah dan akan digunakan bagi tujuan pembayaran hutang 1MDB dan setakat 28 Februari lalu, sebanyak RM3.31 bilion telah digunakan untuk tujuan pelunasan faedah Bon/Sukuk 1MDB.

“Ini menjadikan jumlah pembayaran yang dibuat oleh kerajaan/syarikat MKD adalah sebanyak RM13.31 bilion. Pada masa ini, dana akaun amanah masih berbaki sebanyak RM15.76 bilion (termasuk hibah dan untung/rugi tukaran asing),” katanya.

Idris berkata, baki dana pemulihan aset 1MDB sebanyak RM15.76 bilion hanya mencukupi untuk menampung sebahagian besar prinsipal dan faedah hutang 1MDB pada tahun 2022, iaitu sebanyak RM16.18 bilion.

Bagi menampung kekurangan dana tersebut, katanya kerajaan memperuntukkan sebanyak RM1.53 bilion untuk tujuan pelunasan faedah hutang 1MDB pada tahun 2022.

“Berdasarkan aliran tunai penyelesaian hutang 1MDB dengan mengambil kira jangkaan dana penyelesaian yang bakal diterima daripada AmBank sebanyak RM515 juta dan baki jaminan pemulihan aset oleh Goldman Sachs sebanyak kira-kira USD954 juta, kerajaan masih perlu menampung kekurangan keperluan dana sebanyak RM17 bilion bagi tujuan pelunasan baki prinsipal dan faedah hutang 1MDB sebanyak RM38.8 bilion untuk tempoh 2022 hingga 2039,” katanya.

Mulai tahun 2014 hingga 28 Februari 2022, katanya jumlah yang telah dibayar oleh SRC adalah sebanyak RM314.72 juta, manakala jumlah yang dibayar oleh kerajaan adalah sebanyak RM4,744.49 juta.

Menurutnya, ini menjadikan jumlah keseluruhan pembayaran semula pinjaman daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) adalah sebanyak RM5,059.21 juta dan ini termasuk bayaran prinsipal, keuntungan dan ta’widh (gantirugi kepada peminjam akibat daripada kelewatan).

Katanya, pembayaran terakhir bagi pembiayaan daripada KWAP tersebut dijadualkan pada 28 Mac 2022 yang berjumlah RM610.22 juta dengan semua pembayaran yang kerajaan lakukan adalah daripada sumber kewangan kerajaan.