Menteri agama mengaku hotel Tabung Haji larang pekerja pakai songkok dan kopiah

Menteri agama mengaku hotel Tabung Haji larang pekerja pakai songkok dan kopiah

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad meminta Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Amrin Awaluddin supaya segera menyelesaikan isu berhubung anggota TH Hotel Kelana Jaya (THKJ) tidak perlu memakai songkok dan kopiah ketika bertugas.

Idris berkata, sejurus menerima maklumat berkenaan isu tersebut, beliau terus menghubungi Amrin untuk mengetahui perkara itu dengan lebih lanjut namun menurutnya memo berkenaan tidak diberi maklum balas dari pihaknya.

“Lepas balik daripada solat Isyak dapat maklumat mengenai memorandum TH Hotel Kelana Jaya.

“Terus hubungi CEO TH Amrin, ini respon daripada CEO kepada saya, memo di keluarkan oleh pengurus hotel tanpa maklum balas,” katanya menerusi Facebook.

Idris berkata, isu ini tiada masalah sebenarnya asalkan mengikut etika seperti bersih, kemas, selamat, tertib, menutupi aurat dan seragam.

“Walaubagaimanapun saya minta CEO segera selesaikan isu ini,” katanya.

Menerusi memorandum yang ditandatangani oleh pengurus hotel, Mohamad Nazrul Nazib Nasihin, memaklumkan mengenai pemakaian anggota THKJ ketika bertugas.

“Adalah dimaklumkan bahawa semua anggota THIC diminta untuk berpakaian kemas termasuk pemakaian kasut yang bertutup dan menjaga kebersihan diri sepanjang bertugas.

“Anggota juga diminta untuk tidak memakai songkok atau kopiah ketika tugas kecuali ketika ingin menunaikan solat.

“Diharap semua anggota dapat memberi kerjasama.Terima kasih,” menurut surat itu.