Menteri agama saran arak Timah tukar nama lain

Menteri agama saran arak Timah tukar nama lain

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad bersetuju syarikat pengeluar arak jenama Timah menggunakan nama lain bagi mengelakkan kekeliruan.

Beliau yang juga Naib Presiden PAS berkata, tindakan syarikat berkenaan menggunakan nama “berunsur Islam” ibarat sengaja mahu mencetuskan provokasi dan mewujudkan normalisasi baharu.

“Setuju sepatutnya benda yang bersifat provokasi ini jangan wujud dan nama-nama yang boleh menimbulkan kekeliruan kerana arak tetap haram atas nama apa pun.

“Apa maksud dia (syarikat arak) letak nama itu? Adakah untuk wujudkan normalisasi baharu? Ini yang kita bimbang,” katanya ketika ditemui sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat Wilayah Persekutuan di Masjid Wilayah Persekutuan.

Semalam, Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor mencadangkan supaya label atau nama Timah pada botol arak berkenaan ditukar kepada “Kapten Speedy” selepas jenama arak buatan Malaysia itu tular di media sosial.

Pengkritik mendakwa imej Kapten Speedy pada label arak berkenaan menyerupai lelaki berjanggut dan memakai penutup kepala, seolah-olah imej seorang lelaki alim Islam memakai kopiah.

Warganet turut mempersoalkan ringkasan nama Timah yang dikatakan merujuk kepada puteri Nabi Muhammad, Fatimah.

Dalam pada itu, Idris berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam masa terdekat bagi merungkai kontroversi berkenaan.

“Kita akan bawa bincang dengan pihak KPDNHEP dalam masa terdekat,” katanya, seperti dilapor FMT.

Ketika ditanya adakah beliau akan mengadakan pertemuan dengan pihak syarikat pengeluar arak terbabit, Idris berkata: “Itu bidang kuasa KPDNHEP.”

Arak Timah yang dihasilkan oleh Winepak Corporation berpangkalan di Puchong, Selangor mengandungi 40% alkohol seperti kebanyakan spirit lain antaranya vodka.

Ia dijual pada harga RM190 sebotol di premis runcit terpilih dan secara dalam talian.