Menteri agama siasat Ustaz Pas bawa jemaah umrah tak vaksin

Menteri agama siasat Ustaz Pas bawa jemaah umrah tak vaksin

PIHAK berkuasa diminta menyiasatan kenyataan pendakwah bebas yang mendakwa membawa jemaah tidak lengkap syarat vaksinasi untuk menunaikan umrah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad yang kesal dengan perkara itu berkata, kejadian itu tidak sepatutnya berlaku kerana antara syarat untuk menunaikan umrah mestilah lengkap divaksinasi dengan vaksin yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi.

“Saya amat kesal kalau berlaku perkara seperti begitu sedangkan syarat telah ditetapkan mesti ‘fully’ vaksin (lengkap divaksinasi).

“Macam mana mereka boleh lepas ke sana (Makkah)? Pihak bertanggungjawab kena siasat macam mana mereka boleh terbolos ke sana,” katanya selepas menyampaikan sumbangan berjumlah RM338,000 kepada 338 kakitangan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang menjadi mangsa banjir di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pengakuan pendakwah terbabit yang membawa jemaah umrah tanpa vaksinasi.

Difahamkan MM merujuk kepada vaksin Meningococcal dan Meningitis yang menjadi syarat ditetapkan Arab Saudi untuk jemaah umrah di seluruh dunia.

Sementara itu, Idris turut menasihatkan mana-mana pendakwah bebas supaya tidak menyampaikan sesuatu ilmu yang bukan menjadi kepakaran mereka dan menyarankan agar menyerahkan urusan itu kepada yang ahli.

“Saya sendiri tidak bercakap bab kesihatan dan saya percaya pakar perubatan kerana dalam agama kita diajar untuk bertanya kepada orang yang tahu jika kamu tidak tahu,” katanya.