Menteri beri jangkaan harga ayam akan naik RM11 sekilo mulai 1 Julai

Menteri beri jangkaan harga ayam akan naik RM11 sekilo mulai 1 Julai

Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Ronald Kiandee menjangkakan harga ayam mentah di pasaran akan mencecah sehingga RM11 sekilogram.

Menurut beliau, senario itu dijangka berlaku susulan kerajaan tidak lagi menguatkuasakan pelaksanaan harga siling RM8.90 seperti yang diperkenalkan Februari lalu selain menarik balik pemberian subsidi RM1.40 yang diberi kepada penternak ayam dibawah Skim Kawalan Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM).

“Harga ayam tentu sekali (naik dan) jika diapungkan (ia akan) lebih tinggi daripada RM8.90, ia akan ditentukan oleh pasaran bermula daripada 1 Julai ini.

“Yang pasti (harga) akan lebih tinggi daripada RM8.90, sama ada (berharga) RM10, RM11 ataupun lebih RM11, ia akan ditentukan dengan harga pasaran.

“Tentu sekali kerajaan memantau agar tidak ada elemen (mengambil lebihan untung) yang akan diambil oleh mana-mana (pihak),” tegas Ronald.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke kilang ayam milik Bismi Empire Sdn Bhd (BISMI) di Simpang Empat di sini, pada Selasa.

Ronald, dalam masa sama, memberi jaminan kerajaan akan terus membantu rakyat terutama golongan berpendapatan rendah (B40) melalui subsidi yang akan disalurkan secara terus kepada kumpulan berkenaan seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini.

“Kerajaan tidak akan biarkan rakyat untuk membeli harga yang lebih tinggi, sebab itu subsidi untuk (masa) akan datang ini akan dialihkan kepada kumpulan B40 (seperti) , yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri dua minggu lalu.

“Kementerian Kewangan dalam proses untuk menentukan jumlah subsidi yang akan dibagi kepada B40 dan bila diadakan (itu) akan ditentukan oleh Kementerian Kewangan tetapi saya yakin (ia) akan disalurkan bantuan ini sebelum 1 Julai akan datang,” kata beliau.

Dalam perkembangan sama, Ronald memaklumkan, pihak industri penternakan ayam kini dalam usaha mengembalikan semula kapasiti pengeluaran pada tahap maksimum iaitu sekitar 1.8 juta sehingga 2 juta ekor sehari agar tidak lagi berlaku krisis atau masalah kekurangan bekalan ayam seperti yang berlaku sebelum ini.

Tambahnya, pemerhatian lanjut juga sedang dilakukan terhadap bekalan ayam di seluruh negara dalam masa dua hingga tiga minggu lagi sebelum kerajaan mengkaji semula larangan mengeksport ayam ke luar negara.

COMMENTS