Menteri kata sorakan 63 ribu penyokong punca pemain hilang fokus

Menteri kata sorakan 63 ribu penyokong punca pemain hilang fokus

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu tampil membela penjaga gol negara, Farizal Marlias susulan kesilapan disifatkan tindakan kurang bijak hingga menyebabkan Harimau Malaya tewas 1-2 dengan Bahrain dalam aksi kedua Kumpulan E Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu lalu.

Ahmad Faizal berkata, sebaliknya faktor luaran daripada lebih 63,000 penonton di stadium ketika perlawanan itu berlangsung harus diambil kira atas kekalahan itu apabila sorakan penonton secara tiba-tiba dilihat menyebabkan pemain negara hilang fokus.

“Seingat saya sejurus jaringan pertama kelihatan beberapa kelibat pemain di luar padang antaranya Guilherme De Paula akan dimasukkan ketika itu yang menyebabkan seluruh stadium bersorak.

“Sorakan sedemikian menyebabkan pemain hilang fokus, sekali gus skuad kita terlepas daripada menjaringkan gol.

“Jadi kalau hendak kata (kekalahan) disebabkan 100 peratus faktor pemain pun, sebenarnya kita sebagai penonton menyumbang kepada larinya fokus pemain.

“Kalau saya yang berada di atas padang ketika itu pun, apabila orang ramai tiba-tiba menjerit (bersorak), fokus saya pun menghilang sedikit,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Surau Al-Faizin Sekolah Kebangsaan (SK) Polis Hutan di Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, di sini, hari ini.

Ahmad Faizal yang juga Ahli Parlimen Tambun, berkata sudah menjadi adat pertandingan adanya pemenang dan yang kalah, justeru semua pihak diingatkan agar tidak bersorak apabila menang sekiranya tidak boleh menerima kekalahan.

Mengenai kecaman terhadap Farizal, beliau berkata, dalam permainan secara berpasukan tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan, justeru biarpun sedih atas kekalahan, jangan terlalu menyalahkan orang lain seperti diri sendiri terlalu sempurna.

“Pada saya sudah banyak jasa Farizal sebagai penjaga gol negara kepada kita apabila beliau dedikasikan hidup kepada sukan dan tentunya perlawanan itu, dan sudah tentu beliau tidak mahu gagal.

“Namun kesilapan sudah berlaku dan seharusnya kita lebih belajar, bukannya menuding jari hingga dapat merosakkan (reputasi) beliau sebagai atlet,” katanya, memetik Harian Metro.

Sementara itu, mengulas mengenai pertemuan skuad negara dengan Bangladesh, malam esok, Ahmad Faizal berkata, pihaknya difahamkan venue sama iaitu Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) dikekalkan biarpun terpalit kontroversi mengenai kualiti padang semasa perlawanan menentang Bahrain akibat hujan lebat.

Beliau berkata, penjelasan melalui kenyataan dibuat Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) semalam sudah memadai mengenai padang di SNBJ yang ditakungi air selepas hujan lebat beberapa jam sebelum aksi Malaysia-Bahrain.

Menurutnya, nasihat bagi pihak dirinya turut dititipkan supaya perlawanan selanjutnya dibuat di beberapa stadium selain dari SNBJ seperti Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, khusus bagi perlawanan tidak membabitkan aksi skuad Harimau Malaya memandangkan ia dijangka tidak membabitkan ramai penonton.

“Sebelum marah menteri (saya), rakyat kena faham dulu perlawanan itu diuruskan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), bukan dengan PSM dan Kementerian Belia dan Sukan,” katanya.