Menteri kewangan kata bank boleh luluskan pinjaman tanpa cagaran

Menteri kewangan kata bank boleh luluskan pinjaman tanpa cagaran

PIHAK bank boleh meluluskan pinjaman tanpa cagaran berdasarkan kesanggupan bank tersebut mengambil risiko pada peringkat dalaman.

Perkara itu dijelaskan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang berkata, pihak bank boleh mengambil risiko hasil penilaian kredit yang memenuhi dan kelulusan berdasarkan proses tadbir urus dalaman.

Menjelaskan isu yang dibangkitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tengku Zafrul menjelaskan, dalam kes Genting Hong Kong, pinjaman telah diluluskan sebelum pandemik Covid- 19 melanda.

“Genting Hong Kong ini adalah syarikat dalam sektor libur atau leisure sector, termasuk pelancongan. Tapi bila Covid melanda, banyak syarikat yang bergantung kepada pelancongan terjejas. Ini sudah tentu sesuatu yang tidak dapat dijangka semasa pinjaman diluluskan.

“Harus diingat bahawa bukan sahaja bank tempatan yang memberikan pinjaman tanpa cagaran kepada Genting Hong Kong malah turut melibatkan bank-bank dari luar negara.

“Semua bank-bank ini juga turut perlu mematuhi garis panduan dalaman serta garis panduan bank pusat masing-masing sebelum memberikan pinjaman.

“Adakah Datuk Seri (Anwar) ingin memberi gambaran bahawa semua bank- bank dari luar negara ini juga telah bertindak sembrono dalam memberikan pinjaman kepada Genting Hong Kong?,” katanya.

Pada masa sama, Tengku Zafrul mempertahankan pinjaman bank berkenaan diberi kepada syarikat perjudian kerana Malaysia merupakan negara merangkumi pelbagai kaum. ⠀

“Mengenai isu pinjaman diberi kepada syarikat perjudian seperti Genting. Masyarakat Malaysia merangkumi pelbagai kaum, dan hari ini, sektor perbankan Islam Malaysia amat progresif, dan ini membolehkan perbezaan di antara aset-aset syariah dan konvensional.

“Jadi, kalau isu ini benar-benar penting, mengapa semasa Datuk Seri menjadi Menteri Kewangan, tiada arahan dikeluarkan kepada bank-bank tempatan supaya tidak memberi pinjaman kepada Kumpulan Genting?⠀

“Pengisytiharan Genting Hong Kong sebagai muflis amat dikesali. Walau bagaimanapun, ingin saya tegaskan bahawa bank-bank yang terlibat, dan sektor perbankan Malaysia secara keseluruhannya, amatlah berdaya tahan dalam mengharungi pelbagai cabaran operasi perniagaan semasa,” katanya.

Terdahulu, Anwar mendesak Tengku Zafrul menjawab persoalan berhubung tiga bank tempatan dibenarkan memberi pinjaman tanpa jaminan kepada syarikat perjudian Genting Hong Kong.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, desakan itu dibuat susulan media melaporkan tiga bank Malaysia, Malayan Banking Berhad (Maybank), Kumpulan CIMB Berhad dan RHB Bank Berhad yang dijangka mengalami kerugian berbilion ringgit ekoran Genting Hong Kong yang diisytihar muflis.