MIC harap BN dapat kerjasama dengan PAS untuk tawan selangor

MIC harap BN dapat kerjasama dengan PAS untuk tawan selangor

etua Penerangan MIC Selangor berharap Barisan Nasional (BN) di negeri ini bekerjasama dengan PAS bagi memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

B Awtar Singh yang juga Ketua Bahagian MIC Puchong berkata percaturan sekarang bergantung kepada orang Melayu yang mewakili 70 peratus daripada jumlah pengundi.

“Perpecahan sekarang melibatkan orang Melayu yang lebih serius, menang atau kalah, bolanya di kaki orang Melayu, orang India hanya 10 peratus dan Cina sebanyak 20 peratus .

“Takkan 30 peratus boleh gugat 70 peratus, jadi di Selangor pada pandangan saya kita perlu kerjasama dengan PAS, kita boleh menang,” katanya kepada Sumberkini.

Awtar Singh berkata sekiranya UMNO dan PAS tidak bekerjasama keadaan menjadi sukar atau peluang untuk menang dilihat 50 peratus.

“Kalau betul PAS utamakan bangsa dan agama seperti apa yang mereka amalkan, parti itu perlu bekerjasama dengan UMNO,” katanya.

Sementara itu, mengenai kerusi-kerusi yang sepatutnya diserahkan kepada MIC, Awtar Singh berharap, yang penting calon-calon yang diturunkan seeloknya oleh BN adalah dari kalangan orang tempatan.

Jelas beliau berdasarkan maklum balas daripada akar umbi, sentimen tempatan cukup penting kerana orang ramai tidak suka kepada calon ‘helikopter’ atau orang luar.

“Persepsi sekarang orang tengok kepada calon, biar ambil daripada tempatan, kalau ada masalah orang senang cari dia, kalau dia duduk di Puchong mahu maki hamun dia senang.

“MIC sekarang semua yang dilantik sebagai penyelaras adalah orang tempatan, kalau sistem ini diguna dalam pemlihan (calon), saya yakin boleh menang, fasal ramai orang sekarang suka calon yang dia kenal tidak suka calon helikopter,” katanya.