Moratorium tanpa faedah belum lulus, tak habis-habis bincang lagi

Moratorium tanpa faedah belum lulus, tak habis-habis bincang lagi

DALAM sesi penggulungan titah di-Raja di Dewan Rakyat hari ini, Timbalan Menteri Kewangan 11, Yamani Hafez Musa berkata, kerajaan masih membincangkan cadangan pemberian moratorium pinjaman tanpa faedah terakru kepada rakyat dengan institusi perbankan.

Beliau berkata, perbincangan itu memerlukan masa kerana ia membabitkan keputusan komersial antara bank, lembaga pengarah dan pemegang sahamnya.

“Namun satu rumusan kita akan usahakan dengan mengambil kira kesan jangka panjang terhadap peminjam, pendeposit, pelabur, institusi kewangan dan ekonomi negara, lapor Suara Merdeka.

“Kerajaan juga memahami masalah dihadapi rakyat dan akan mempertimbangkan pelbagai cadangan yang dikemukakan,” katanya.

Beliau berkata demikian susulan cadangan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) supaya kerajaan mengusahakan pengecualian faedah untuk moratorium pinjaman bank bagi suku keempat tahun ini.

Sementara itu, Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) menggesa kerajaan segera memutuskan perkara itu kerana pemberian moratorium pinjaman tanpa faedah terakru dinantikan rakyat.

“Kita difahamkan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz yang berkata bahawa perkara itu sudah selesai dan salah satu perkara dalam perjanjian persefahaman (MoU) antara kerajaan dan pembangkang ialah menyelesaikan moratorium pinjaman tanpa faedah terakru.

“Tetapi jawapan timbalan menteri kewangan nampaknya perkara itu belum selesai,” katanya.

Beliau berharap perkara ini diselesaikan dengan kerajaan memutuskan tidak ada faedah terakru terhadap moratorium pinjaman. Itu diharapkan ramai di luar sana.

Pada 14 September lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan sedia membincangkan cadangan pemberian moratorium pinjaman tanpa faedah terakru kepada rakyat bagi memudahkan pembayaran hutang isi rumah.

Ismail Sabri berkata, perbincangan akan dibuat bersama Kementerian Kewangan berhubung perkara tersebut.

Bulan lalu, Gabenor Bank Negara, Nor Shamsiah Mohd Yunus dilaporkan berkata, pemansuhan faedah terakru dalam moratorium pinjaman hanya akan memberi impak jangka panjang kepada ekonomi negara.

Katanya, faedah terakru bank di negara ini menerusi moratorium hampir RM1.4 trilion, iaitu bersamaan 73 peratus daripada sistem pinjaman bank.

Katanya lagi, faedah terakru dalam moratorium pinjaman untuk menampung kos pinjaman bank termasuk pembayaran faedah deposit daripada bank serta pinjaman lain seperti bon yang dibuat pihak bank untuk memberi pinjaman kepada peminjam.