MoU kerajaan-PH: Rakyat dapat manfaat, kata Guan Eng

MoU kerajaan-PH: Rakyat dapat manfaat, kata Guan Eng

KEJAYAAN atau kegagalan memorandum persefahaman (MOU) bagi transformasi dan kestabilan antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) bergantung bagaimana ia dapat dilaksanakan mengikut masa seperti dijanjikan.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata ia menjadi cabaran kepada kerajaan untuk merealisasikan perjanjian dalam MoU tersebut sekali gus dapat memberi manfaat kepada rakyat.

“Di sebalik cabaran ini, rakyat akan mendapat manfaat langsung daripada pelaksanaan MoU terutamanya Pelan Reset Covid-19 Negara untuk memenangi pertempuran melawan Covid-19.

“Selain Pelan Pemulihan Ekonomi RM45 bilion disertakan dengan pengecualian pembayaran faedah selama tiga bulan selama moratorium pinjaman bank untuk 50 peratus penduduk Malaysia yang terbawah.

“Pemimpin PH perlu menjelaskan kepada rakyat bahawa manfaat ini merupakan bahagian penting daripada MoU untuk menyelamatkan nyawa dan mata pencarian, yang sebelum ini ditolak kerajaan tetapi kini diterima sebagai sebahagian dasar,” katanya hari ini, lapor Malaysiapost.

Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, cadangan Kementerian Kewangan untuk menambah dana Covid-19 sebanyak RM45 bilion daripada RM65 bilion menjadi RM110 bilion, dan meningkatkan had statutori hutang negara daripada 60 kepada 65 peratus KDNK akan membantu menyokong rakyat dan perniagaan, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), semasa pembukaan semula ekonomi.

“Pengumuman baru-baru ini oleh Menteri Kewangan, (Datuk Seri) Tengku Zafrul Abdul Aziz yang melaksanakan langkah-langkah ini adalah hasil kejayaan pertama kepada rakyat yang mendapat manfaat daripada MOU ini,” katanya.