Mufti Perlis keluar dari gua, tiba-tiba ulas isu kekecohan tokong cina

Mufti Perlis keluar dari gua, tiba-tiba ulas isu kekecohan tokong cina

MUFTI Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin mempersoalkan ketegasan pihak berkuasa, dipercayai dalam menangani insiden kekecohan di hadapan Tokong Cina Chee How, Cheras, Selasa lalu.

Beliau membandingkannya dengan tindakan polis menahan sekumpulan individu di Pulau Pinang kerana menunaikan solat Hari Raya tanpa mengikut prosedur operasi standard (SOP).

“Jika penguatkuasa boleh dihalau dengan batang kayu dan undang-undang boleh dihalang dengan tengkingan bongkak, di manakah air muka pihak berkuasa?

“Jangan kita lupa kali yang lepas bagaimana mereka yang hanya bersolat hari raya di Pulau Pinang yang tidak mengikut SOP digari beramai-ramai dengan penuh ketegasan.

“Mengapa ada perbezaan layanan?,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya hari ini, lapor Malaysiapost.

Tangkap layar hantaran Mohd Asri yang dimuatnaik di Facebooknya

Selasa lalu, empat lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung insiden 30 individu menghalang dan menyerang anggota polis kerana membantah pembinaan pagar penghadang bagi membina jalan untuk dijadikan laluan ke sebuah sekolah berhampiran tokong itu.

Berdasarkan video yang tular, sekumpulan individu dilihat menyerang, melakukan provokasi serta menggunakan kayu seolah-olah untuk mengancam pihak berkuasa.

Semalam, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata kerja membina pagar penghadang ‘hoarding’ bersebelahan Tokong Cina Chee How, adalah bagi pembinaan laluan masuk ke tapak projek Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Sungai Besi dan bukan untuk merobohkan binaan tokong itu.

Katanya, kawasan tersebut terdapat dua sekolah iaitu Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Tai Thung dan SMK Jalan Sungai Besi yang akan dibina 24 kelas.

Kata Jalaluddin, Surat Pemberitahuan Pengosongan Tapak (tempoh selama 14 hari dari tarikh notis) telah dikeluarkan pada 6 Mei lalu oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan, Putrajaya terhadap yang berada bersebelahan tokong tersebut.