Mufti Pulau Pinang tempelak arak Timah, Malaysia tak patut jadi pengeluar arak

Mufti Pulau Pinang tempelak arak Timah, Malaysia tak patut jadi pengeluar arak

 

MUFTI Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor kecewa dengan tindakan syarikat pengeluar minuman keras yang menjenamakan arak dengan nama ‘Timah’ yang sekali gus disifatkan penghinaan kepada umat Islam.

Wan Salim berkata, bagi masyarakat Melayu, Timah adalah singkatan daripada Fatimah iaitu nama puteri Nabi Muhammad SAW yang amat dihormati umat Islam sama ada golongan Sunni atau Syiah.

Beliau yang mengakui amat terkejut apabila membaca sebuah iklan yang tular di media sosial beberapa hari lalu, menegaskan Malaysia tidak wajar menjadi negara pengeluar minuman keras.

“Amat mengecewakan apabila sejenis arak buatan Malaysia diberi nama Timah dengan paparan wajah seorang lelaki berjanggut dan memakai kopiah.

“Syarikat pengeluar arak ini perlu peka terhadap sensitiviti umat Islam berkaitan dengan isu tersebut.

“Lebih memburukkan lagi keadaan apabila gambar yang dipaparkan pada botol minuman tersebut seolah-olah imej seorang yang beragama Islam,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Wan Salim berkata, perlembagaan negara sudah menyatakan bahawa Islam adalah agama rasmi Malaysia dan tidak sepatutnya menjadi negara pengeluar arak.

“Bagaimanapun, saya tahu mesti ada yang tidak setuju dengan kenyataan saya dengan menyatakan Malaysia adalah sebuah negara majmuk yang mana penduduknya berbilang bangsa dan penganut agama, sedangkan arak tidak dilarang untuk orang bukan Islam,” katanya.

Semalam, media melaporkan, kerajaan menafikan mempunyai hubung kait dengan pengeluaran arak jenama tempatan iaitu Timah sebagaimana tular di laman-laman sosial sejak beberapa hari lalu.

Timbalan Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, adalah tidak wajar mengaitkan perkara tersebut dengan kerajaan.

“Perusahaan sebegitu (minuman keras) memang wujud dalam negara kita, tetapi bukan kerajaan yang keluarkan minuman itu,” katanya, lapor Malaysiapost.