Muhyiddin akhirnya akur kekalahan, terima hakikat jadi pembangkang

Muhyiddin akhirnya akur kekalahan, terima hakikat jadi pembangkang

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin akhirnya akur dengan pembentukan kerajaan perpaduan yang diterajui Pakatan Harapan (PH).

Muhyiddin berkata PN kini akan memainkan peranan semak dan imbang kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Muhyiddin yang juga presiden Bersatu berkata demikian ketika menyampaikan ucapan tahniah kepada pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu.

“Dengan kerajaan persekutuan diterajui oleh PH, PN akan memainkan peranan semak dan imbang dalam parlimen Malaysia dengan membawa suara rakyat selaras dengan prinsip demokrasi berparlimen.

“Bergerak ke hadapan, PN akan meneruskan perjuangan demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara berpandukan prinsip prihatin, bersih dan stabil,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin menyeru parti komponen PN dan penyokongnya terus merapatkan barisan meski selepas gagal.

“Bergerak kehadapan, semua pihak perlu cekal dan ikhlas meneruskan perjuangan melalui wadah Perikatan Nasional walau apa rintangan dan cabaran pasca PRU-15.

“PN percaya bahawa para penyokong serta jentera parti akan terus istiqamah berpegang teguh kepada asas perjuangan parti demi masa hadapan Malaysia yang lebih baik,” katanya lapor Malaysiakini.

Kenyataan Muhyiddin dan Hamzah itu hadir selepas media melaporkan kenyataan Setiausaha Agung PAS Takyuddin Hassan yang menyatakan kesediaan membincangkan tawaran menyertai kerajaan perpaduan pimpinan PH dengan sekutu PAS dalam PN.

Takiyuddin sebelum ini berkata PAS akan membincangkan perkara itu dengan parti komponen PN di samping turut sama meninjau pandangan dan kesediaan rakyat khususnya para pengundi mereka.

Takiyuddin turut mengucapkan tahniah kepada Anwar Ibrahim yang dilantik sebagai perdana menteri dan menyatakan keyakinan bahawa pengerusi PH itu akan melaksanakan tanggungjawab dengan baik, adil dan berehsan.

Semalam, selepas hampir seminggu kebuntuan politik, Anwar akhirnya dilantik sebagai perdana menteri yang akan menerajui kerajaan yang dianggotai PH dan sekutunya, selain BN dan GPS.

Susulan itu, Muhyiddin mencabar Anwar mengemukakan jumlah sokongan dimiliki bagi mengabsahkan jumlah yang diperoleh bagi memegang jawatan perdana menteri.

Pada sidang media pertamanya sebagai perdana menteri semalam, Anwar memaklumkan bahawa parlimen akan bersidang pada 19 Dis dan usul pertama adalah undi percaya terhadapnya bagi membuktikan sokongan majoritinya.

Anwar juga berkata dia akan menjadi perdana menteri untuk semua.

Namun, kata Anwar, maklum balas awal PN adalah “tidak menggalakkan”, merujuk kepada penolakan Muhyiddin terhadap cadangan pihak istana untuk bekerjasama dengan PH.

Semalam, Hamzah yang juga setiausaha agung Bersatu turut mengeluarkan kenyataan bahawa PN bersetuju untuk mempertimbangkan cadangan penubuhan kerajaan perpaduan yang melibatkan perbincangan dengan parti-parti yang sehaluan.