Muhyiddin ‘claim’ sambutan Ramadan berbeza tahun ini adalah jasa PN

Muhyiddin ‘claim’ sambutan Ramadan berbeza tahun ini adalah jasa PN

PRESIDEN Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata sambutan Ramadan tahun ini berbeza dengan sambutan pada 2020 dan 2021 susulan kejayaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dilaksanakan PN.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) menjelaskan dua tahun sebelum ini negara berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19.

Menurutnya, oleh kerana pergerakan terbatas dan bagi mengekang penularan wabak berkenaan, hanya sebilangan kecil ahli jawatankuasa masjid atau surau dibenarkan solat tarawih berjemaah masjid atau surau.

“Aktiviti-aktiviti mengimarahkan masjid lain seperti majlis berbuka puasa, tadarus dan tadabur serta moreh juga tidak dibenarkan.

“Bagaimanapun tahun ini kita bersyukur kerana semua aktiviti tersebut sudah dibenarkan seperti biasa walaupun dalam norma baharu dan masih terikat dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Beliau berkata, kerajaan PN telah mengambil langkah pantas dan berani dengan menempah lebih 87 juta dos vaksin membabitkan perbelanjaan RM4.36 bilion.

“Saya sendiri merupakan antara individu pertama yang menerima dos vaksin pada 24 Februari 2021.

“PICK kini telah menyaksikan lebih 98 peratus populasi dewasa di negara ini sudah menerima dos vaksinasi lengkap manakala lebih 67 peratus populasi dewasa sudah menerima dos penggalak,” katanya.

Muhyiddin berkata, keadaan itu juga membolehkan hampir kesemua sektor kehidupan termasuk sektor ekonomi dibuka seperti biasa termasuk aktiviti-aktiviti di masjid, surau dan rumah-rumah ibadat lain.

“Malah atas cadangan Majlis Pemulihan Negara (MPN), Malaysia sudah berpindah daripada pandemik memasuki fasa endemik dan pintu sempadan negara juga telah dibuka sejak 1 April lalu.

“Inilah nikmat besar yang kita perolehi daripada program imunisasi tersebut,” katanya

Beliau berkata, peluang untuk berbuka puasa, menunaikan solat sunat tarawih dan menyertai aktiviti-aktiviti ihya Ramadan di masjid atau di surau pada tahun ini adalah satu nikmat yang tidak dapat kita rasakan pada Ramadan tahun lepas.

“Marilah kita gunakan peluang ini untuk berlumba-lumba meningkatkan amalan seperti bersedekah, solat sunat, membaca al-Quran dan qiamullail sepanjang Ramadan ini bagi mendapatkan keredaan Allah SWT.

“Semoga setiap amalan kita di bulan penuh berkat ini diterima Allah hendaknya. Selamat menyambut Ramadan Al-Mubarak 1443H,” katanya.