Mujahid tegaskan PH kekal berprinsip walau tandatangan MoU
1 Ketika politik tanahair dilanda sindrome jual kesetiaan sehingga menyuburkan budaya lompat melompat, Pakatan Harapan kekal berperinsip dan komited secara berterusan untuk kepentingan demokrasi dan pemulihannya.
2. Rundingan dengan PM DS Ismail Sobri adalah atas agenda besar keperluan demokrasi dan bukan kompromi jual prinsip, apatah lagi menerima tawaran-tawaran kedudukan.
3. Persefahaman adalah atas asas reformasi parlimen dan perundangan serta penggubalannya. Banyak perkara yang tergendala dari aspirasi politik PH, sekurangnya dapat dilunaskan sebahagiannya melalui perjanjian persefahaman ini.
4. Kebejatan politik yang cuba menularkan budaya ‘kesetiaan boleh dijual beli’ perlu disekat segera. Kehendak rakyat menyegerakan akta anti-lompat adalah agenda teratas rundingan supaya keperluan rakyat didahulukan untuk melihat ahli politik yang jujur dengan mandat yang diberikan kepadanya.
5. Jiwa perjuangan politik perlu menjauhi label ‘Hak Cipta Terpelihara’, intipati yang hendak dicapai lebih utama dari nama individu mahupun parti. TG Nik Aziz pernah melahirkan jiwa besar perjuangan dengan menyatakan kalau ada orang lain nak buat Islam dan kebaikan (dirujuk kepada UMNO), PAS boleh bubar bila-bila masa saja!
6. Ada kebaikan dan hikmah disebalik inisiatif rundingan ini, pertama mencapai konsensus nasional, kedua mempertegaskan budaya rundingan berperinsip dan ketiga melumpuhkan politik jual kesetiaan demi jawatan. Tiga hikmah di atas di sebalik MoU PH dan PM bagi saya adalah isyarat kemenangan awal politik baharu.
7. Negara sedang melalui transisi yang sukar, rakyat dari pelbagai latar dan kecenderongan kepartian harus memudahkan cita-cita rundingan ini. Janganlah menyukarkan lagi keadaan dengan membuat andaian negatif yang memudaratkan harapan menyembuhkan negara dan memulihkan demokrasi kita.
8. Tanggungjawab sebagai pembangkang berperinsip diteruskan seperti semak-imbang, mengemukakan cadangan dan memastikan parlimen yang bebas dan berfungsi. Cita-cita ini juga termasuk dalam agenda rundingan. Kita membina sistem yang akan terpakai kepada sesiapa sahaja yang menjadi kerajaan kemudian.
Rugilah kita jika peluang memulihkan dan menyembuhkan negara bersama disia-siakan. Lagipun inilah norma baharu politik pasca covid iaitu berkompomi dari tapak prinsip untuk sembuhkan negara.
Yb DS Dr. Mujahid Yusof Rawa
Ahli Parlimen Parit Buntar
Naib Presiden Parti AMANAH