Muktamad! Zahid tegaskan Umno akan pertahan semua kerusi dimenangi PRU14

Muktamad! Zahid tegaskan Umno akan pertahan semua kerusi dimenangi PRU14

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengatakan parti itu tidak akan berkompromi dengan kerusi yang dimenanginya semasa pilihan raya umum ke-14 yang lalu.

Dalam catatan di Facebook, Zahid mengatakan ini sejajar dengan keputusan sebulat suara yang dibuat oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno tahun lalu.

“Umno akan mempertahankan kerusi Parlimen dan DUN yang dimenangi dalam pilihan raya yang lalu.

“Umno tidak akan berkompromi terhadap mana-mana kerusi telah dimenangi dalam PRU14,” kata Ahli Parlimen Bagan Datoh itu.

“Ketetapan ini bukan hanya oleh MKT, tetapi ia lahir dari suara akar umbi yang mahu Umno menjadi dominan semula selepas PRU15.

“Dominan bukan pula bermaksud angkuh, tetapi kewajipan mengembalikan Umno sebagai sebuah parti yang menjadi teras kepada pentadbiran kerajaan,” katanya.

Umno menang di 54 kerusi Parlimen dan 241 kerusi DUN pada PRU14 tetapi beberapa wakil rakyatnya lompat parti.

Kenyataan Zahid hadir selepas Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin berkata bahawa gabungan itu akan meneruskan rundingan kerusi antara parti komponen PN dan sekutunya bermula minggu depan walaupun masih tidak mendapat sebarang petunjuk daripada Umno atau Barisan Nasional (BN).

“Kami belum terima apa-apa makluman daripada Umno atau BN untuk berbincang mengenai peruntukan pembahagian kerusi. Kita belum pasti hala tuju Umno ke hadapan dan belum ada satu pernyataan jelas daripada pimpinan Umno atau BN.

“Tapi realitinya dalam kerajaan, kita adalah bersama. Kalau kita hendak tunggu parti lain buat keputusan dan pendirian, ia akan ganggu urusan PRU yang hendak diatur oleh PN,” kata Muhyiddin.

Mengulas lanjut, Zahid berkata, kemenangan Umno akan memberi sumbangan penting dalam memastikan kestabilan politik, sejajar dengan statusnya sebagai parti Melayu terbesar.

“Dan pastinya Umno sedia maklum akan ada parti lain bertanding di kawasan sama. Ini lumrah sebuah negara demokrasi.

“Namun jangan sesekali memperkecilkan kekuatan Umno dan para akar umbinya bangkit.

“Rakyat telah mengerti antara kebenaran dan kepalsuan. Mereka melihat dengan jelas apa yang berlaku selepas PRU14.

“Pisang tidak berbuah dua kali. Cukup-cukup sudah apa yang terpaksa mereka lalui sejak 9 Mei 2018,” katanya, lapor Malaysiakini.

Dalam PN, rundingan kerusi melibatkan Bersatu, PAS dan Gerakan di Semenanjung Malaysia, bersama Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Progresif Sabah (SAPP) di Sabah.

Secara berasingan, Umno sedang berunding dengan sekutu BN, iaitu MCA dan MIC.