Mungkin risau Zahid tumbang, 176 Pemuda UMNO gesa pemilihan parti ditangguh

Mungkin risau Zahid tumbang, 176 Pemuda UMNO gesa pemilihan parti ditangguh

PERWAKILAN Pemuda Umno menggesa pemilihan parti itu diadakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Setiausaha Pemuda Umno, Datuk Hasmuni Hasan, berkata ia bagi memastikan kerukunan serta kestabilan parti itu terpelihara, selain memberikan ruang kepada kepimpinan parti fokus terhadap agenda membantu rakyat.

Katanya, gesaan itu dibuat menerusi 176 usul yang dihantar sebagai ketetapan utama mesyuarat pergerakan Pemuda Umno Bahagian di seluruh negara, untuk diperhalusi dan dimuktamadkan.

“Pertama, usul utama Pergerakan Pemuda Umno Bahagian-Bahagian adalah untuk menggesa supaya pemilihan parti diadakan hanya selepas PRU15,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu, katanya, hampir keseluruhan usul yang diterima daripada Pemuda Umno Bahagian, mengusulkan supaya Umno dan Barisan Nasional (BN) mengetengahkan lebih ramai calon muka baharu dan calon anak muda dalam menghadapi PRU15.

“Ini juga susulan aspirasi dan keputusan kepimpinan yang meletakkan 87 peratus muka baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

“Melalui keputusan ini jua lah, PRN Melaka menjadi saksi bahawa tindakan kepimpinan ini telah memberikan kelebihan dan keyakinan rakyat untuk mengundi Barisan Nasional, khususnya pengundi anak muda,” katanya, seperti dipetik Malaysiapost.

Justeru, beliau berkata, bertepatan dengan langkah tersebut, perwakilan Pemuda Umno percaya kepimpinan Umno dan BN perlu meneruskan langkah berkenaan.

“InsyaAllah BN akan kembali menjadi pilihan majoriti rakyat Malaysia.

“Inilah suara majoriti akar umbi Pemuda Umno di seluruh negara mahukan pengukuhan serta memastikan umno menjadi organisasi terbaik yang dapat menjamin kestabilan demi kemakmuran negara,” katanya.

Dalam pada itu, Hasmuni berkata, beliau percayaPemuda Umno sebagai tiang dan teras kepada parti perlu sentiasa bersiap siaga dan memberi komitmen terbaik dalam menghadapi apa-apa jua keadaan.

“Semoga usul-usul yang diketengahkan dipertimbangkan dengan baik oleh pucuk pimpinan parti demi kebaikan bersama,” katanya.