Najib dibidas bagi cadangan yang dianggap ‘merepek’

Najib dibidas bagi cadangan yang dianggap ‘merepek’

Sebuah kumpulan aktivis mendesak Putrajaya menolak saranan bekas perdana menteri Najib Razak untuk menghantar pulang pekerja warga asing yang tidak divaksin.

Pengarah Eksekutif Tenaganita Glorene Das berkata, kerajaan seharusnya membersihkan sistem imigresen untuk memastikan pengurusan buruh asing yang lebih baik.

Bercakap kepada FMT, beliau mendakwa Najib tidak pernah mempunyai rancangan untuk menangani masalah pekerja tanpa dokumen ketika dia berkuasa dan jumlah mereka meningkat di bawah pemerintahannya.

“Kebiasaannya mereka di kambing hitamkan, menjadikan mereka penjenayah dan mencari strategi menghasilkan lebih banyak wang daripada kumpulan ini untuk kepentingan politik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Najib baru-baru ini di Dewan Rakyat yang mengatakan pekerja warga asing perlu diberikan masa empat bulan untuk mendapatkan vaksin atau berdepan tindakan, termasuk dihantar pulang ke negara asal.

Najib turut mencadangkan hukuman penjara kepada mereka yang terus mengambil pekerja warga asing tidak divaksin selepas tempoh empat bulan.

Das berkata, jelas bahawa kerajaan harus membantu pekerja warga asing untuk mendapat vaksin, tetapi beliau berkata ancaman operasi dan serbuan yang dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri menyebabkan mereka takut untuk keluar.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan sudah mengatakan mereka tidak ada masalah dengan warga asing yang ingin keluar mendapatkan vaksin.

“Kita tidak boleh mempunyai kementerian yang mempunyai perbezaan dalam mengeluarkan kenyataan atau membuat keputusan “ad hoc” untuk memenuhi agenda tertentu,” katanya.

Beliau mendesak kerajaan untuk menangani masalah eksploitasi pekerja secara sistemik, dan mengaitkan ia sebagai satu punca peningkatan jumlah pendatang tanpa izin di negara ini.

Katanya, pekerja warga asing sering tidak berdokumen akibat kelemahan dalam sistem pengurusan buruh migran.

Tambahnya lagi, keadaan seperti itu membolehkan majikan mengabaikan proses memperbaharui permit kerja atau membenarkan pegawai yang tidak beretika mengambil pekerja warga asing tanpa izin.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) Shamsuddin Bardan berkata, cadangan Najib untuk memberi tempoh empat bulan adalah wajar.

Beliau berkata, majikan harus mempunyai keutamaan yang jelas untuk memastikan semua pekerja mereka diberikan vaksin, termasuk pekerja warga asing.

“Akta Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan 1994, Seksyen 15 dan 17, meletakkan kewajiban kepada majikan untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan pekerja mereka,” katanya.

Tambah Shamsuddin, penting bagi kerajaan untuk meminimumkan perselisihan antara majikan dan pekerja dengan membuat garis panduan untuk menangani pekerja yang menolak untuk mendapat vaksin.

Sementara itu, Najib dalam catatan di Facebook berkata, Malaysia mempunyai hak untuk menetapkan syarat bagi warga asing yang ingin bekerja di negara ini termasuk memastikan mereka lengkap divaksin.

“Aktivis yang kurang senang hati perlu faham bahawa Covid (Covid-19) tak pilih pekerja asing atau warga Malaysia untuk berjangkit. Selagi Covid menular dalam mana-mana komuniti, Malaysia juga tidak akan selamat.

Tambah beliau, aktivis perlu faham bahawa cadangan beliau adalah untuk menjaga keselamatan semua pihak iaitu pekerja warga asing, majikan dan masyarakat umum Malaysia.