Najib kata BN dah penat jadi pembangkang di Selangor

Najib kata BN dah penat jadi pembangkang di Selangor

BARISAN Nasional (BN) sudah ‘letih’ menjadi pembangkang di Selangor sejak 14 tahun yang lalu, kata Pengerusi Lembaga Penasihat BN Datuk Seri Najib Razak.

Menurutnya, BN boleh merampas kembali Selangor yang terlepas ke tangan Pakatan Harapan (PH) sejak 2008 sekiranya menggunakan pendekatan yang fleksibel.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, setiap parti komponen BN mestilah fleksibel dalam gerak kerja jentera BN bagi memastikan matlamat utama untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

“Ahli BN dari akar umbi hinggalah kepada pucuk pimpinan, semua perlu bersedia dengan jentera untuk melawan parti dan rakyat.

“Ada cara yang kita boleh fleksibel supaya kita boleh menang. Dah tak lama lagi. Kita rasa ia sudah dekat,” katanya dalam ucapan di Konvensyen BN Selangor di Setia Alam, hari ini.

Najib turut menggariskan beberapa formula supaya BN kembali menjadi tampuk pemerintahan Selangor pada PRU15.

Menurutnya, BN Selangor mesti menang di kesemua 25 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang komposisi peratusan kaum Melayu lebih tinggi daripada kaum lain.

Bagi kawasan komposisi peratusan kaum Melayu kurang 50 peratus, Najib menggesa BN Selangor berusaha untuk menang di 12 kerusi yang berpotensi menang.

“Jadi sudah ada 37 kerusi daripada 56 kerusi yang dipertandingkan. Kerusi yang lain kita tetap usahakan untuk menang,” katanya, lapor Malaysiapost.