Najib kata pengundi Cina sokong BN di Johor
PENGERUSI Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Razak merasakan sokongkan daripada masyarakat atau pengundi Cina kini mula kembali kepada BN dan MCA berdasarkan sambutan yang diterima ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) ketika ini.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, setakat ini maklum balas yang diterima sangat menggalakkan dan berharap ia akan diterjemahkan melalui undi pada 12 Mac ini kepada calon BN.
“Setakat ini tanda-tanda itu adalah amat menggalakkan. Misalnya sambutan yang saya dapat pagi ini..tak mungkin saya dapat pada tahun 2018.
“Jadi itu satu perubahan yang cukup menggalakkan, namun kita harap ia diterjemahkan dalam bentuk undi pada 12 Mac nanti,” katanya kepada pemberita ketika berkempen bersama calon BN di Muar, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada pengundi Cina akan kembali memberi sokongan kepada BN.
BN mempertaruhkan calon MCA, Gan Qi Ru di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bentayan, bagi merampas kerusi disandang calon DAP, Ng Yak Howe serta berdepan seorang lagi calon dari Perikatan Nasional (PN) Eddy Tan Kok Hong.
Sementara itu, menurut Qi Ru, dia percaya pengundi Cina akan menyokong BN dan MCA pada PRN Johor Kali ini.
“Ya, (mereka) memang sokong (MCA). Semua orang sampai ke sini untuk sokong ‘Bossku’ (Najib),” katanya.